Labur RM5,000 elak tembok penahan ombak runtuh

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PENGKALAN BALAK 2 Jun – Dua pengusaha chalet terpaksa melabur RM5,000 untuk mengukuhkan tembok penahan ombak dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berikutan hakisan pantai yang menyebabkan pergerakan pasir di bahagian bawah bongkah batu itu.

Ombak kuat menyebabkan bahagian bawah susunan bongkah batu besar pada tembok penahan ombak sepanjang kira-kira 80 meter yang siap dibina pada Februari lalu itu berlubang, sekali gus menyebabkan pergerakan bongkah batu.

Menurut Nor Afandi Abu Bakar, 54, dia terpaksa menguruskan pembelian batu granit dan tanah untuk memastikan 17 unit chalet milik ibunya, Tijah Mydin, 76, dan kakaknya, Noraini, 56, terhindar daripada ancaman hakisan pantai yang sudah berlarutan sejak Ogos tahun lalu.

“Saya dapati bahagian bawah bongkah batu tembok penahan ombak sudah berlubang akibat hakisan dan lama kelamaan, batu itu bergerak sedikit demi sedikit.

“Keadaan itu tidak boleh dibiarkan dan saya terpaksa menguruskan pembelian batu dan pasir dengan segera untuk dituang ke dalam lubang kecil antara bongkah batu itu bagi menutup ruang sebelum dicurahkan simen,” katanya ketika ditemui di Chalet Keluarga Ria milik anggota keluarganya di Kampung Sungai Kertah, di sini hari ini.

Katanya, walaupun kerja itu tidak mampu menutup keseluruhan lubang yang terbentuk antara bongkah batu berkenaan, sekurang-kurangnya ia mampu memegang bongkah batu supaya tidak bergerak.

Katanya, pergerakan bongkah batu sedikit demi sedikit menyebabkan lubang semakin membesar dan mengancam keseluruhan tembok yang hanya kira-kira dua meter dari bangunan chalet.
Nor Afandi menjelaskan, ibu dan kakaknya berterima kasih kepada JPS kerana mengeluarkan kos membina tembok penahan ombak pada Disember lalu dan kontraktor berjaya menyiapkannya pada hujung Februari lalu.

“Bagaimanapun, kami faham, JPS tidak mampu mengeluarkan kos tambahan bagi memperkukuh tembok penahan ombak, jadi kami terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk menjalankan kerja pembaikan dan menguatkannya,” katanya.

Beliau berkata, hanya kerja menuang batu dan tanah ke dalam lubang dilakukan nelayan yang mengambil upah melakukan kerja berkenaan manakala kerja menyimen akan dibuat dengan menggunakan simen dari lori pembancuh simen.

Katanya, usaha berkenaan dijangka mampu mempertahankan tembok berkenaan untuk jangka panjang berbanding jika tidak disimen yang mendedahkan tembok itu kepada risiko tidak mampu bertahan lama.

“Air laut walaupun kelihatan tenang tetapi ia mampu menghakis pasir pantai tanpa kita sedari dan hanya apabila ada objek yang runtuh di gigi pantai barulah kita menyedari hakisan pantai berlaku secara senyap,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPS negeri, Abdul Hakim Hamzah dilaporkan berkata, kerja pembaikan pantai akibat hakisan itu membabitkan pembinaan benteng pemecah ombak sepanjang 90 meter selain tembok penahan ombak sepanjang 80 meter serta menambak pasir pantai yang terhakis.

Ia adalah sebahagian daripada kerja pembaikan akibat hakisan pantai, termasuk hakisan di Kampung Hilir di Kuala Sungai Baru dan Kampung Tanjung Dahan di Kuala Linggi yang keseluruhannya bernilai RM2.64 juta, katanya.

Views:

1375
Kongsi :
Previous post TNB perkenal PBM bagi ringankan beban kewangan pelanggan
Next post Pesara PBT rugi RM682,000 ditipu Macau Scam
Ubah saiz-+=