KYSBS Selongkar Budaya angkat rasa cintai warisan negara
AYER KEROH 22 Jun- Program Khidmat Komuniti Kolej Yayasan Saad Business School (KYSBS) bertemakan Selongkar Budaya mengangkat rasa cinta terhadap warisan negara dalam diri kanak-kanak.
Pengarah Program, Nur Ezreen Elysa Azahar memaklumkan seramai 28 pelajar KYSBS menerusi program terbabit telah menyantuni 30 anak-anak Dar Asnaf Al Fateh, Gombak Selangor pada Sabtu lepas.
Katanya, program bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 3 petang itu merupakan wahana dalam mengetengahkan keluhuran warisan budaya negara dalam kelompok masyarakat kecil.
“Program Selongkar Budaya ini dimulakan dengan aktiviti sukaneka permainan tradisional seperti batu seremban, ceper, guli dan mencanting batik.
“Program ini berslogankan Salur Cinta, Warisi Budaya, di mana objektif utama untuk mengangkat budaya permainan tradisional agar tidak lapuk ditelan zaman selain menyantuni anak-anak asnaf di institusi terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Hadir sama, Koordinator Program, Farah Nabilla Nadzri.
Dalam pada itu, Penolong Pengarah Program, Muhammad Nazim Mohd Saifulizam turut memaklumkan pada akhir majlis tersebut, pihaknya turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan makanan asas kepada institusi terbabit.
“Menerusi program Selongkar Budaya ini juga, kita berjaya menyerahkan sumbangan bernilai RM3,000 dan barangan makanan seperti beras, minyak, telur, set mandian dan lampin pakai buang.
“Kita harapkan dengan program khidmat komuniti ini dapat membantu dan menceriakan anak-anak asnaf ini selain dapat memupuk semangat cintai warisan negara,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.