KWP komited bantu warga Wilayah Persekutuan miliki kediaman sendiri

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) komited membantu setiap warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah sendiri yang selesa didiami, kata Menterinya Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata antara inisiatif dilaksanakan adalah melalui program Residensi Prihatin Keluarga Malaysia berharga di bawah RM200,000 yang disasarkan untuk golongan B40.

Sementara untuk M40, Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ditawarkan di bawah harga RM300,000, katanya ketika berucap sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di sini hari ini.

Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 263 penerima bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022. Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke Istiadat tersebut.

Shahidan berkata melalui Program Baiti Jannati Keluarga Malaysia pula memberi peluang kepada penyewa sedia ada iaitu miskin tegar dan miskin di Perumahan Awam serta Projek Perumahan Rakyat untuk memiliki unit kediaman.

Selain itu, beliau berkata program pembinaan tambahan 5,000 unit Council Home untuk disewa warga kota juga akan dibangunkan.

Sementara itu, Shahidan berkata pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Wilayah Persekutuan sentiasa menjadi hala tuju dan keutamaan kerajaan.

Misalnya, beliau berkata kerajaan telah merancang pembinaan Jambatan Labuan-Sabah, yang kini di peringkat penilaian dokumen Permintaan Cadangan (RfP), yang mampu membawa perubahan ke arah Labuan lebih dinamik dan berdaya maju.

Kementerian juga tidak ketinggalan merangka agenda pembangunan untuk masa hadapan secara mampan, berdaya huni dan pintar, katanya.

“Berkonsepkan ‘Our City Our Home’, Wilayah Persekutuan komited untuk menyediakan persekitaran kondusif serta selamat kepada warganya dan menyasarkan menjadi bandar pintar menjelang 2030,” katanya.

Bagi meningkatkan ekonomi warganya, Shahidan berkata sejumlah 178 kawasan perumahan rendah dan sederhana rendah di Kuala Lumpur telah mendapat manfaat melalui program MY5@Wilayah yang bertujuan untuk meringankan kos sara hidup golongan miskin bandar.

Sementara yang terbaharu, beliau berkata Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota adalah bagi membantu belia yang hilang pekerjaan, kekurangan punca pendapatan dan penganggur untuk menjadi usahawan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

508
Kongsi :
Previous post Abang bomba enggan vaksin kena kaunseling
Next post UTeM Tuan Rumah Penganjuran Majlis Anugerah Sukan MASUM 2019
Ubah saiz-+=