Kutipan zakat Melaka meningkat 15.53 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 22 September – Jumlah kutipan zakat Negeri Melaka bagi tempoh Januari hingga 31 Ogos 2023 meningkat sebanyak 15.53 peratus atau RM89.1 juta berbanding RM77.18 juta sepanjang tempoh sama tahun lalu.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagi tempoh sama juga kutipan zakat harta secara keseluruhan adalah berjumlah RM83.4 juta meningkat sebanyak RM11.8 juta atau 16.53 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.

Katanya zakat pendapatan menjadi penyumbang utama dengan jumlah kutipan RM48 juta, sementara itu zakat pertanian pula terendah dengan RM31,014.4 atau 0.04 peratus.

“Umat Islam berzakat menerusi potongan gaji membabitkan kakitangan awam dan swasta di negeri ini juga semakin ramai dengan jumlah kutipan meningkat kepada lebih RM33 juta.

“Ada peningkatan sebanyak lebih RM4 juta berbanding lebih RM29 juta tahun lalu. Jumlah mereka yang melakukan potongan gaji ketika ini adlah seramai 33,021 orang berbanding 32,024 pada 2022,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu beliau yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, menyempurnakan perasmian Majlis Anugerah Zakat Melaka Sektor Awam dan Swasta Tahun 2022 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Muhammad Ikram Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Terdahulu pada majlis sama 11 jabatan dan sektor awam menerima anugerah pembayar zakat mengikut lima kategori iaitu bayaran zakat tertinggi (Anugerah Diamond), pembayar zakat tertinggi (Anugerah Ruby), peratus kenaikan bayaran tertinggi (Anugerah Sapphire), peratus kenaikan bayaran tertinggi (Anugerah Emerald) dan pembayar komited (Anugerah Amethyst).

Anugerah Diamond bagi sektor awam diterima Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), sementara itu kategori swasta pula dianugerahkan kepada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1920
Kongsi :
Previous post Dendam lama jadi punca lelaki dibunuh kejam
Next post Cat semula, tambah papan tanda Makam Hang Tuah
Ubah saiz-+=