Kutipan zakat Melaka meningkat 0.95 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 22 Dis. – Melaka merekodkan kutipan zakat berjumlah RM87,059,870.89 bagi tahun 2020, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil berkata, jumlah itu meningkat RM820,021.10 atau 0.95 peratus berbanding kutipan berjumlah RM86,239,849.79 yang dicatatkan pada 2019.

Bukan itu sahaja, malah ujarnya, jumlah pembayar zakat di negeri ini turut meningkat menjadi 47,661 berbanding 45,308 tahun lalu dengan peningkatan seramai 2,353 atau 5.19 peratus.

KETUA Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil

“Walaupun dalam musim COVID-19, Alhamdulillah kutipan dan jumlah pembayar zakat meningkat. Walaupun jumlah yang dibayar berkurangan berbanding sebelum ini, namun dengan pertambahan bilangan pembayar zakat kita dapat menampung kekurangan tersebut sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah keseluruhan.

“Boleh dikatakan hampir semua jenis zakat meningkat yang mana kita percaya peningkatan ini disumbangkan hasil usaha menggerakkan promosi di media sosial termasuklah membuat siaran langsung untuk meningkatkan kesedaran kepada pembayar zakat khususnya di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan zakat di negeri ini akan terus meningkat dengan sasaran peningkatan 10 hingga 15 peratus setiap tahun.

“Kita akan terus memperkasakan pembayaran secara dalam talian dan pada masa sama kita juga menyediakan inisiatif untuk turun ke lapangan bagi memudahkan urusan pembayar zakat.

“Dengan cara ini kita akan menghubungi pihak syarikat atau pembayar individu dan kemudian kita akan berjumpa untuk mentafsirkan zakat dan pada masa sama memudahkan mereka untuk terus membuat pembayaran,” katanya.

Untuk rekod, setakat 21 Disember 2020, zakat pendapatan mendahului kutipan keseluruhan zakat harta negeri ini iaitu sebanyak RM50,605,707.33, diikuti zakat wang simpanan (RM14,675,170.59), zakat perniagaan (RM15,240,918.15), zakat emas perak (RM942,293.54), zakat saham (RM669,893.73) serta zakat ternakan dan zakat pertanian.

Manakala zakat fitrah pula merekodkan kutipan RM4,807,684.00 pada tahun ini, yang mana ia turut meningkat 6.46 peratus berbanding tahun lalu.

Views:

1333
Kongsi :
Previous post Biden terima suntikan vaksin COVID-19, mahu rakyat turut sama
Next post 75 pegawai, anggota keselamatan ditugaskan di PKPD Pusat Koreksional Jasin
Ubah saiz-+=