Kutipan Zakat Melaka catat lebih RM115.5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

MELAKA, 19 Dis – Melaka mencatatkan kutipan zakat lebih RM115.5 juta setakat 15 Dis lepas iaitu peningkatan sebanyak 12.02 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas berjumlah RM103.1 juta.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata jumlah itu membabitkan kutipan zakat harta iaitu sebanyak RM109.8 juta dan zakat fitrah (RM5.75 juta).

“Zakat pendapatan menunjukkan jumlah kutipan tertinggi iaitu RM66.8 juta diikuti zakat perniagaan (RM22.5 juta) dan zakat wang simpanan (RM18.2 juta).

“Kutipan zakat terendah adalah zakat pertanian iaitu sebanyak RM49,199 selain zakat ternakan (RM53,543),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan oleh agensi-agensi korporat yang disempurnakan Yang di-Pertua negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, di Ayer Keroh.

Rahmad berkata bilangan pembayar zakat pula adalah sebanyak 48,685 orang, menurun 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama iaitu 50,875 pada tahun lepas.

Katanya kerajaan negeri juga berharap agensi-agensi korporat lain turut melunaskan zakat perniagaan kepada Zakat Melaka demi memenuhi tuntutan lapan golongan asnaf zakat di negeri itu.

Pada majlis itu sebanyak 15 agensi melunaskan pembayaran zakat perniagaan yang berjumlah RM6.16 juta. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

806
Kongsi :
Previous post 617 mangsa kemalangan kembali memandu
Next post UTeM terima penarafan QS World Universiti Rankings: Sunstainability 2024
Ubah saiz-+=