Sorting by

×

Kutipan RM16,529 Tabung Kemanusiaan Palestin selamat disalurkan

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

AYER KEROH 14 November – Sebanyak RM16,529 sumbangan orang ramai berjaya dikumpulkan pada penganjuran Himpunan Sejuta Pembela Palestin pada 26 Oktober lalu.

Pengerusi Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, kesemua dana yang berjaya dikumpul itu telah berjaya disalurkan ketika penghantaran misi pertama ke sempadan Palestin dikendalikan oleh badan bukan kerajaan (NGO), Serantau Muslim.

Jelasnya, kesemua dana yang dikutip telah dihantar pada hari sama penganjuran program himpunan itu diadakan di Stadium Hang Jebat, baru-baru ini.

“Alhamdulillah sumbangan yang dikumpulkan pada tempoh hari selamat tiba dan kita masih buka untuk mengumpulkan sumbangan-sumbangan ini untuk dihantar terus ke Palestin.

“Sumbangan itu secara terus telah dihantar pada misi penghantaran pertama ke negara itu dan sumbangan telah dibelikan dengan pelbagai peralatan seperti keperluan makanan, ubat-ubatan dan sebagainya untuk keperluan saudara kita di Gaza.

“Kita harap lebih ramai lagi masyarakat, NGO, syarikat-syarikat mahupun individu perseorangan untuk bersama-sama mengumpulkan dana untuk kita salurkan buat saudara kita di sana menerusi rangkaian NGO yang kita ada dan juga Serantau Muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri program Hang Tuah Jaya Berselawat diadakan Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini malam tadi.

Terdahulu, program diadakan sejak jam 6.30 petang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama lebih 1,000 umat Islam.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan berkata, DMDI komited bagi memastikan sumbangan yang dibuka itu dapat disalurkan secara terus kepada negara tersebut.

Katanya, 100 peratus sumbangan yang diterima akan dihantar terus kepada Palestin untuk membantu keperluan dan mengurangkan derita yang ditanggung saudara sesama Islam di negara itu.

“Kepada mana-mana individu yang mahu menyumbang mereka boleh sumbangkan terus dana kepada Tabung DMDI-Palestin yang dilancarkan dan kita tidak akan gunakan tabung ini untuk segala pergerakan atau sebaliknya tapi dana yang dikutip ini 100 peratus akan dihantar melalui rangkaian NGO yang terlibat.

“Insya-Allah segala dana yang dikutip, setiap sen atau setiap ringgit yang diterima kita akan salurkan agar saudara kita di negara sana dapat menerima manfaatnya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

912
Kongsi :
Previous post Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bergema di Masjid MITC
Next post TMM2024: Anjur lebih banyak program Islamik
Ubah saiz-+=