KUSKOP saran lebih banyak koperasi ternak ayam

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

ASAHAN 25 Februari – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyarankan penglibatan lebih banyak koperasi menceburi bidang ternakan ayam dalam merancakkan industri agromakanan di negara ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, gerakan koperasi yang lebih aktif khususnya dalam bidang penternakan berupaya meningkatkan kapasiti pengeluaran bekalan daging mentah sekali gus menyelesaikan kemelut keterjaminan makanan.

Katanya, setakat ini hanya 21 daripada lebih 15,000 koperasi yang berdaftar menyertai bidang penternakan ayam di negara ini.

“Kita tidak meletakkan sasaran khusus untuk koperasi ini menceburi industri agromakanan tetapi apabila rakyat berbicara tentang bekalan ayam dan telur dalam negara, saya berfikiran gerakan koperasi ini boleh membantu.

“Namun saya difahamkan terdapat 20 pihak yang menyatakan minat untuk penubuhan koperasi secara agromakanan dan mudah-mudahan tahun hadapan apabila kita melihat semula koperasi di negara ini jumlah 21 itu akan bertambah lebih besar daripada jumlah yang ada hari ini.

“Dalam isu keterjaminan makanan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebenarnya menyediakan pembiayaan agromakanan kepada pertubuhan koperasi melalui peruntukan Tabung Modal Pusingan (TMP) SKM bernilai RM100 juta,” katanya.

IMG_20230225_134722_080
ASAHAN 25 FEBRUARI 2023. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (kanan) menerima cenderahati daripada Pengerusi Lembaga KOP-KHAS, Faizal Ahmad Shafii (kiri) pada Program Eksplorasi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ke Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad di Kampung Gubah, Asahan, Jasin. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke ladang ternakan ayam kampung kacuk Koperasi Keluarga Haji Sharief Melaka Berhad (KOP-KHAS) di Kampung Gubah, di sini hari ini.

Mengulas mengenai lawatan tersebut, beliau berbangga kerana projek penternakan Keluarga Haji Sharief yang bermula pada tahun 2020 di Melaka kini menjadi koperasi ternakan ayam kampung terbesar di Malaysia.

“Itu sebabnya kita hadir bukan hanya untuk memberi penghargaan kepada koperasi ini tetapi berharap ini dapat memotivasikan lebih banyak koperasi mengambil bahagian.

“Lawatan ini adalah penanda aras KUSKOP dalam memperkasa industri ternakan ayam sebagai sumber bekalan makanan melalui gerakan koperasi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2755
Kongsi :
Previous post Blok wanita dan kanak-kanak RM700 juta kurangkan ‘beban’ Hospital Melaka
Next post 15 pasar raya Melaka sertai Jualan RAHMAH, tawar potongan sehingga 30 peratus
Ubah saiz-+=