Sorting by

×

Kurus sebab kurang sihat bukan tak cukup makan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

AYER KEROH 8 Januari – Dakwaan kononnya harimau putih diberi nama ‘Elsa’ tidak dijaga dengan sempurna hingga menyebabkan haiwan karnivor itu kurus disangkal pihak pengurusan Zoo Melaka.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron berkata, karnivor jenis harimau bengal putih itu sebenarnya mengalami masalah kesihatan berkaitan tulang sejak dilahirkan lagi.

Katanya, Elsa menghidap penyakit berkaitan tulang punggung, belakang badan dan rahang sejak yang secara tidak langsung memberikan kesan kepada diet pemakanannya yang menjadi lebih rendah berbanding harimau sihat lain.

“Dakwaan yang tular di laman sosial sejak kelmarin mengenai Elsa adalah tidak benar. Berbanding 11 lagi harimau dewasa ada di sini (Zoo Melaka) yang kebiasaannya makan lima hingga tujuh kilogram (kg) daging ayam, Elsa hanya makan sekitar lima kg ayam sahaja sehari.

“Elsa yang kini berusia tujuh tahun bersifat ‘manja’ dan memerlukan bantuan penjaga untuk menyuapnya makanan. Kami prihatin terhadap kesihatan Elsa, haiwan itu kini dalam keadaan sihat, berat badan semasanya adalah sekitar 70 kg berbanding 50kg ketika mula-mula dibawa ke Zoo Melaka pada 2019,” katanya pada sidang media di Zoo Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis.

Mengulas lanjut, Sapiah berkata Zoo Melaka mempunyai doktor haiwan selain haiwan pula sentiasa dipantau Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Kebanyakan harimau di zoo ini sebenarnya mengalami obesiti dan bukannya kurang makan. Elsa memerlukan diet pemakanan khas yang dipantau doktor haiwan kerana tidak boleh terlalu berat, jika itu berlaku haiwan karnivor ini akan mengalami kesukaran untuk bergerak.

“Bagi mengelakkan isu seumpama ini berulang kita akan meletakkan papan tanda makluman berhubung masalah kesihatan di lokasi Elsa dipamerkan,” katanya.

Sapiah, turut menafikan haiwan-haiwan lain di Zoo Melaka tidak dijaga dengan baik dan kurus memandangkan semua 627 haiwan daripada 300 spesies di zoo itu perlu mengikut diet pemakanan yang dipantau doktor untuk mengelakkan masalah obesiti.

Kelmarin, tular satu video berdurasi 22 saat mendakwa Elsa kurus akibat kelaparan, malah adalah dalam kalangan netizen mahu pihak zoo memulangkan haiwan itu ke habitat asalnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6486
Kongsi :
Previous post Bina menara telekomunikasi di Paya Lebar
Next post Ribut tak jejas operasi Zoo Melaka
Ubah saiz-+=