Kurung dan pukul kekasih, tukang kasut didenda RM6,000
KUALA LUMPUR 1 Julai – Seorang tukang kasut didenda RM6,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Selayang, hari ini, selepas mengaku bersalah mengurung kekasihnya selama enam hari dan mencederakan wanita itu dengan memukul dan merantai kedua-dua belah kakinya di dalam sebuah bilik, bulan lalu.
Yee Lee Shong, 48, dituduh mengurung dan mencederakan wanita berusia 40 tahun itu di sebuah rumah di Taman Daya Kepong, dekat sini antara 7 Jun dan 12 Jun lalu.
Bagi kesalahan mengurung, Majistret Nik Fadli Nik Azlan mengenakan denda RM5,000 atau penjara enam bulan terhadap Yee manakala denda RM1,000 atau penjara dua bulan bagi kesalahan mencederakan.
Ketika rayuan, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan yang mewakili Yee, memohon denda minimum atas alasan pendapatan anak guamnya tidak menentu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.
“Tertuduh hanya bekerja sebagai tukang kasut terpakai dan dia bergaduh dengan mangsa iaitu teman wanitanya kerana mangsa tidak pulang ke rumah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran kerana mangsa telah dikurung selama enam hari selain mengalami kecederaan dan digari menggunakan rantai basikal.
Mengikut fakta kes, pada 7 Jun lalu, semasa mangsa berada di rumah tertuduh, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum tertuduh bertindak memukul dan mengurung wanita itu di dalam bilik selain merantai kedua-dua belah kakinya.
Pada 12 Jun, mangsa berjaya melepaskan diri dengan bantuan jirannya dan terus membuat laporan polis.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.