Sorting by

×

Kursus pra perkahwinan di Melaka ditangguhkan

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

BUKIT BARU 24 Okt. – Kursus pra perkahwinan seluruh Melaka ditangguhkan sementara oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mulai hari ini berikutan peningkatan kes COVID-19.

Dalam kenyataannya, JAIM berkata, kursus dikendalikan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bentara Sdn. Bhd., itu ditangguhkan hingga pengumuman mengenai tarikh lain dibuat kemudian.

“Berikutan peningkatan kes COVID-19 di seluruh negara, khususnya di Melaka sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri memutuskan semua majlis, program, bengkel dan kursus anjuran kerajaan negeri ditangguhkan sebagai langkah membantu mengurangkan penularan wabak itu,” katanya.

Bagaimanapun, temuduga perkahwinan masih boleh dibuat tetapi hanya untuk mereka yang bermastautin di Melaka dan tidak pernah menghadiri kursus seumpama itu di negeri lain.

Selain itu, temuduga berkenaan hanya untuk mereka yang bakal bernikah antara November hingga Disember depan.

Sebelum ini JAIM sudah menangguhkan perarakan Maulidur Rasul peringkat negeri dan kariah di seluruh Melaka yang dijadualkan pada Khamis depan berikutan peningkatan kes pandemik COVID-19.

JAIM sudah mengeluarkan pekeliling kepada pengerusi masjid di negeri ini supaya mematuhi keputusan yang dibuat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Melaka (JKNM) bagi membantu mengurangkan kes terbabit.

Pengarahnya Datuk Md Azhan Samat dilaporkan berkata, ia sejajar keputusan JKNM yang bukan setakat membabitkan sambutan Maulidur Rasul, malah program lain yang berskala besar.

Sementara itu, sebanyak 30 kes positif COVID-19 masih dirawat di Hospital Melaka tetapi tiada kes baharu dilaporkan setakat semalam.

Dua kluster aktif ialah Kluster Bukit dan Kluster Umboo manakala sekolah yang masih ditutup kekal satu, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin.

SMK Lubok Cina dan Sekolah Kebangsaan Telok Berembang yang ditutup pada 15 Oktober lalu sudah dibuka semula kelmarin.

Views:

1430
Kongsi :
Previous post Agong adakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat
Next post COVID-19: Malaysia dijangka mula peroleh bekalan vaksin suku pertama 2021
Ubah saiz-+=