Kursus Induksi SLDN tingkatkan Kualiti usahawan Melaka
AYER KEROH 8 Februari – Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan menganjurkan Kursus Asas Wajib pada 11 Februari ini bertujuan untuk melahirkan usahawan Negeri Melaka yang berkualiti.
Kursus dijangka berlangsung di Bangunan World Youth Foundation, di sini, membabitkan DMDI Malaysia, DMDI Melaka, DMDI Putrajaya dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Pengerusi DMDI Putrajaya, Datuk Joyah Abd Rashid berkata, sasaran peserta kursus adalah dalam kalangan ibu tunggal, badan bukan kerajaan (NGO) wakil syarikat atau industri.
“Induksi itu adalah satu keperluan jika ingin menjadi pengajar bertauliah bagi menggalakkan peniaga Bumiputera mencapai taraf profesional dan global dalam bidang kemahiran.
“Ia juga bagi menggalakkan semua usahawan daripada setiap bidang diberi panduan platform bagi meningkatkan kualiti latihan yang dijalani sepanjang tempoh berdasarkan kepelbagai proses kerja industri dan mewujudkan satu mekanisma tambahan bagi meningkatkan kemahiran kejurulatihan dalam bidang pengiktirafan,” katanya.
Beliau yang juga Presiden SLDN menjelaskan antara pengisiannya kursus adalah meningkatkan kualiti kerja dan produktiviti kerana pekerja yang dilatih diberi pendedahan dan memenuhi keperluan industri.
“Kita mahu menaik taraf kualiti sesuatu bidang usahawan dan pengusaha Bumiputera untuk memajukan ekonomi di Negeri Melaka.
“Selain itu kita mahu menyahut seruan kerajaan untuk mencapai matlamat menjadikan Melaka negeri yang bertaraf tinggi,” katanya.
Menurut Joyah, Pengerusi DMDI Melaka yang juga Pengerusi Yayasan DMDI, Datuk Mohd Ridhwan Tun Mohd Ali membuat perancangan bagi membantu pengusaha Melaka untuk mengiktiraf usahawan-usahawan dalam bidang kemahiran bagi memangkin Ekonomi Negara.
“DMDI juga akan menyediakan pusat latihan yang bertauliah oleh pihak Jabatan Kemahiran Malaysia bagi usahasama syarikat dan pusat latihan yang berkonsepkan Latihan teori (20 peratus) dan Latihan amali di Industri (80 peratus).
“Berpeluang mendapat pengiktirafan dan meningkatkan produktiviti prestasi syarikat serta menyumbang ke arah pembangunan kerjaya.
“Yuran penyertaan RM350 termasuk makan dan minum serta Sijil Induksi dibawah Jabatan Pembangunan Kemahiran(JPK) Kementerian Sumber Manusia,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi Cik Sikin 016-4471508, Cik Suzana 019-2605135, Nancy 017-6332345, Azim/Ekin 016-4471508.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.