Kursus ‘chargeman’ komitmen TNB bantu ekonomi, sosial dan masyarakat
AYER KEROH 27 Julai – Selain peranan utama sebagai pembekal tenaga Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) komited ingin bersama-sama membantu meningkatkan ekonomi, sosial dan masyarakat.
Ketua Pegawai Regulatory dan Stakeholder Management TNB Datuk Ts. Shamsul Ahmad berkata, antara inisiatif telah dilaksanakan ialah menaja 24 anak Melaka menerusi Program Latihan Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) dengan peruntukan berjumlah RM1 juta.
Jelasnya, program tersebut dikendalikan TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (TNB ILSAS) iaitu salah sebuah institusi latihan terulung di Malaysia yang memainkan peranan melahirkan modal insan Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) sejak lebih empat dekad lalu.
“Adalah menjadi kewajipan TNB untuk memperkasakan kehidupan rakyat dan komuniti serta menyediakan inisiatf untuk mereka kecemerlangan pada masa hadapan.
“Kami di TNB percaya dengan usaha dan inisiatif yang dirancang ini akan dapat membantu perancangan Kerajaan Negeri dalam membangunkan kompetensi serta tenaga mahir warga Melaka.
“Saya percaya sinergi di antara TNB dan kerajaan Negeri Melaka ini akan dapat menyumbang kepada pembangunan tenaga mahir negara yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tamat Program Penjaga Jentera Elektrik Kategori AO dan BO Untuk Warga Melaka Dengan Penajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Auditorium Menara TNB Melaka, di sini, hari ini.
Program itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka (TAPEM) Datuk Mustafa Musa dan Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solution Sdn. Bhd. (ILSAS) Siti Sarah Johana Mohd Said.
Sementara itu, Ts. Shamsul memaklumkan TNB bakal menganjurkan Persidangan Peralihan Tenaga (Energy Transition Conference) bermula dari 28 hingga 29 Ogos 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Katanya, persidangan pertama anjuran TNB itu akan menjadi salah satu platform utama negara dalam merangsang solusi melalui kerjasama merentasi pelbagai sektor ekonomi di rantau ini.
“Persidangan ini akan menghimpunkan para pemimpin, penggubal dasar, peneraju industri dan komuniti industri tenaga antarabangsa untuk sama-sama membincangkan cabaran peralihan tenaga.
“Pada masa ini, TNB sedang dalam usaha mempercepatkan inisiatif Peralihan Tenaga Bertanggungjawab yang selari dengan hasrat kerajaan untuk terus membekalkan elektrik kepada rakyat ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan lestari.
“Ini kerana TNB percaya kemajuan dan peralihan tenaga termasuk usaha mampan TNB secara holistik yang meliputi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), harus memberi manfaat kepada rakyat,” katanya yang turut menjemput Ketua Menteri menghadiri persidangan tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.