Kurangkan keluasan getah matang tidak bertoreh, tingkatkan pekebun kecil

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 6 Oktober – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengesan sebanyak 409,172 hektar keluasan getah matang tidak bertoreh melibatkan seramai 221,859 pekebun kecil di seluruh negara berdasarkan banci 2013 dijalankan setakat ini.

Pengarah Bahagian Produktiviti dan Pemasaran RISDA, Noor Azan Mohd Noor berkata, bagi mengatasi isu tersebut pihaknya melaksanakan banci pekebun kecil 2023 bermula 1 Julai hingga 31 Disember 2023.

Katanya, menerusi banci 2013 di Negeri Melaka pula kira-kira 8,000 hektar getah tidak bertoreh melibatkan lebih 6,000 pekebun kecil dikesan.

“Sebenarnya satu kerugian apabila kita mengesan banyak pokok getah yang tidak bertoreh susulan kekurangan pekebun kecil. Kebun matang terbiar atau tidak bertoreh akan dikenal pasti dan pekebun kecil akan diberikan pendedahan berkaitan bantuan RISDA menerusi program-program anjuran kami.

“RISDA juga menyasarkan sekurang-kurangnya 20 peratus keluasan getah tidak bertoreh melibatkan 50,000 hingga 80,000 hektar akan dikurangkan dan jumlah pekebun kecil ditingkatkan menerusi banci pekebun kecil 2023 nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kempen Gerakan Peningkatan Produktiviti Getah (GPPG) dan Konvensyen Amalan Pertanian Baik (GAP) anjuran Pejabat RISDA Melaka 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Program tersebut dirasmikan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh, hadir sama, Pengarah RISDA negeri, Muhd Khairuddahri Abd Rahman.

Pada program terbabit, beliau turut mengumumkan peruntukan baik pulih depo di bawah program Kemudahan Insfrastruktur Pemasaran (KIP) kepada dua penerima iaitu Depo Lateks Ramuan China Kecil dan Depo Skrap Kampung Kemuning masing-masing bernilai RM15,000.

Turut diberikan Geran Padanan (GP) kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemasaran Bukit Senggeh dan AJK Pemasaran Ramuan China Kecil masing-masing bernilai RM5,000.

Noor Azan turut memaklumkan Melaka menerima Peruntukan RISDA berjumlah RM1,171,700 bagi Program Skim Getah Matang (SGM) bagi tahun 2023.

“Peruntukan tersebut akan digunakan RISDA Melaka untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti melibatkan pekebun kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1605
Kongsi :
Previous post Doktor maut dalam perjalanan pulang dari kerja
Next post Kompleks Japerun berpindah ke Pekan Merlimau
Ubah saiz-+=