Kurangkan birokrasi mudahkan urusan usahawan
AYER KEROH 26 Februari – Kementerian Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) memberi jaminan lebih ramai usahawan tempatan akan menerima banyak manfaat selepas pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata agensi di bawah KUSKOP peringkat negeri atau persekutuan diminta agar memainkan peranan dengan mengurangkan kerenah birokrasi bagi memudahkan lagi urusan usahawan tempatan.
“Kita akan menyokong lebih banyak perusahaan seperti di Negeri Melaka ini. Pada sesi lawatan saya di Jasin, Koperasi Ayam Kampung Kacuk dan di Ayer Keroh, Pak Man Industries Sdn. Bhd. menghasilkan pes asam pedas.
“Mereka ini wajar dijadikan contoh oleh usahawan yang mahu berjaya dan pergi lebih jauh dalam perniagaan. Kejayaan sumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada usahawan itu sendiri, sebaliknya masyarakat sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan Perasmian Pak Man Industries Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Corporation (MCorp), Datuk Mashitah Ismail.
Turut hadir, Pengasas Pak Man Industries Abdull Rahman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Pak Man Industries, Erni Yuslinah Abdull Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.