Kupang, kerang dari perairan Melaka dihentikan jualan di pasaran
MERLIMAU 7 April – Jualan hasil laut dwicengkerang seperti kerang dan kupang dari perairan Melaka dihentikan sementara selepas didapati tidak selamat untuk dimakan kerana terdapat biotoksin dan alga berbahaya.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah berjaga-jaga dari peringkat awal perlu diambil bagi mengelakkan kes keracunan makanan berlaku di Melaka sebagaimana kejadian yang berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Jelasnya, larangan penjualan hasil laut itu sudah dikeluarkan Jabatan Perikanan Negeri Melaka sejak 5 April lalu selepas memperoleh keputusan sampel yang diambil dari Sebatu.
“Kita menyeru kepada rakyat Melaka khususnya untuk tidak mengambil produk dwicengkerang dari Selat Melaka iaitu dari perairan Melaka hingga ke Port Dickson, pada waktu ini. Untuk tempoh ini memang tiada jualan dan tidak dijual di pasaran.
“Ini kerana kita hentikan sementara penjualan malah aktiviti tuaian hasil laut seperti kupang dan kerang juga tidak dibenarkan buat sementara waktu ini,” katanya.
Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Semarak Syawal Agro Madani Peringkat Negeri Melaka di Pasar Tani Merlimau, hari ini.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, tempoh larangan penjualan dan tuaian hasil dwicengkerang itu akan berkuatkuasa sehingga dimaklumkan kelak selepas hasil analisis sampel diambil dapati ia selamat untuk dimakan.
“Kita ada ‘incubation period’ jadi dalam tempoh 20 hari ini Jabatan Perikanan akan memantaunya setiap hari dan minggu depan sampel kedua akan diambil. Sekiranya didapati masih ada biotoksin serta alga jadi tempoh itu akan dipanjangkan.
“Buat masa ini tiada sebarang kes keracunan makanan berpunca daripada dwicengkerang dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka, mungkin ada yang alami tetapi tidak datang ke klinik menerima rawatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.