Kunjungan Najib pengubat kesedihan kematian isteri

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

TANJUNG BIDARA 24 Okt – Bekas pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Abd Malik Siron gagal menahan sebak dan terharu apabila menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena program Ziarah Kasih di rumahnya di Taman Idaman Jaya, Masjid Tanah, hari ini.

Abd Malik, 62, yang juga bekas Ketua UMNO Masjid Tanah baharu kematian isteri kira-kira lima bulan lalu, tidak menyangka Najib sudi melawat dirinya yang kini terlantar sakit akibat penyakit saraf sejak Jun lalu.

“Kali terakhir pakcik jumpa beliau kira-kira lebih 20 tahun lalu sewaktu bertugas sebagai pegawai Jasa di Kuantan, Pahang dan Alhamdulilah, kami bertemu semula pada hari ini.

“Beliau (Najib) bertanyakan khabar dan minta saya terus bersabar dan kuat mengharungi kehidupan,” katanya.

Abd Malik antara tiga keluarga dalam daerah Masjid Tanah yang disantuni Najib sempena program Ziarah Kasih yang turut disertai Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu meluangkan masa bersarapan bersama penduduk daerah Masjid Tanah di Restoran AbahShan Pengkalan Balak pada pukul 8.30 pagi sebelum bergerak mengunjungi kediaman penduduk yang terlibat pada program itu.

Turut menerima kunjungan Najib dan barisan kepimpinan negeri dan UMNO ialah pesara tentera di Kampung Londang, Sohaimi Omar, 64, yang kehilangan kaki kiri kira-kira dua bulan lalu akibat penyakit kencing manis.

Selain itu, Najib turut melawat pesara bomba, Bahri Abdul Rahman, 76, yang menderita sakit saraf di Kampung Bukit Beringin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post Prospek cerah industri automatif di Melaka – Azmin
Next post SOP PRN Melaka tak adil – DAP Melaka
Ubah saiz-+=