Kunjungan hormat MHI, CMI ke UTeM perkukuh kerjasama dalam STEM dan TVET

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

DURIAN TUNGGAL 12 Mei – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dijangka bakal memperkukuhkan jalinan kerjasama bersama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Melaka Hari Ini (MHI) dalam mempromosi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam kalangan anak tempatan.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, antara kerjasama strategik universiti teknikal yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan UTeM dalam kalangan anak Melaka untuk menjadikan universiti itu pilihan mereka dalam bidang teknikal.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk menjalankan projek inovasi dan penyelidikan berteraskan teknikal yang mampu memberi sumbangan kepada kerajaan negeri Melaka.

Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Pertama sekali kita akan melihat bagaimana kita hendak memperkembangkan ilmu dari segi STEM menerusi kerjasama CMI dan MHI, juga untuk projek inovasi dan penyelidikan berteraskan teknikal, yang dapat menyumbang kepada kerajaan negeri Melaka.

“Dalam erti kata lain, kita saling memerlukan. Jika sebelum ini orang kata di mana atau siapa UTEM, jadi kita minta bantuan MHI untuk menguar-uarkan UTeM adalah universiti berteraskan TVET, malah sebenarnya universiti awam (UA) teknikal pertama di Malaysia.

“Jadi saya selaku Naib Canselor UTeM mengalu-alukan pelajar-pelajar lepasan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), matrikulasi, terutamanya anak-anak Melaka untuk belajar di UTeM sendiri, yang mana kita hendak memperkasakan pembelajaran STEM dan TVET,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat MHI dan CMI di pejabat canselori UTeM di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah UTeM, Datin Ts Nurazlina Md Sanusi.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Hari Ini (MHI) Datuk Seri Abdul Jalil Hamid bersama Naib Canselor UTeM Prof Ts Dr Massila Kamalrudin ketika mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Canselori Universiti Teknikal Malaysia (UTeM). Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, kunjungan hormat selamat lebih satu jam diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MHI, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid manakala CMI dihadiri Pengurus Besarnya, Masrul Faizal Mohamad.

Hadir sama, Ketua Kandungan MHI, Mohd Salman Hamat dan Pengurus Pemasarannya, Muhammad Hamzi Rosmani.

Mengulas lanjut, Dr Massila berkata pihaknya turut membincangkan potensi yang boleh dilaksanakan bersama CMI untuk menjadikan UTeM sebagai pusat pendidikan kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri.

“Kita melihat limpahan ilmu pengetahuan di sini serta kepakaran dan kita akan gunakan kelebihan itu untuk menyumbang kepada pembangunan negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1517
Kongsi :
Previous post Makan di gerai lebih sedap,murah – pengguna
Next post MAQIS P. Pinang rampas daging babi diisytihar produk ikan
Ubah saiz-+=