Sorting by

×

Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

MADINAH, 21 Mei –  Kumpulan pertama 284 jemaah haji Malaysia musim 1444 Hijrah tiba di hotel penginapan di Saja Al Madinah di sini pada 8.10 pagi waktu tempatan.

Kesemua jemaah berkenaan yang berlepas kira-kira 3 pagi Ahad dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz di sini pada 7 pagi Ahad waktu tempatan.

Ketibaan rombongan jemaah yang menaiki tujuh buah bas ke hotel penginapan itu disambut Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrinanuwar Shamsuddin, Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin serta pengurusan dan petugas Tabung Haji (TH).

Wan Zaidi berkata proses ketibaan berjalan lancar dengan jemaah tidak perlu menunggu lama di lapangan terbang menerusi program praperlepasan jemaah haji atau ‘Makkah Route’.

“Ia memudahkan jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dan Jeddah dengan urusan pasport dilakukan sebelum berangkat ke sini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya Malaysia adalah antara negara terawal menerima kemudahan program berkenaan kerana mempunyai rekod pengurusan haji yang cemerlang.

Secara keseluruhan sebanyak 102 penerbangan membawa 31,600 bakal haji akan bertolak secara berperingkat sama ada ke Madinah atau Makkah, dengan penerbangan terakhir musim haji kali ini pada 21 Jun depan.

Selain Saja Al Madinah, jemaah haji yang tiba di Madinah akan menginap di Anwar Al Madinah Movenpick dan Emaar Royal Hotel.

Setiap kumpulan jemaah akan berada selama enam hari di kota suci ini sebelum berangkat ke Makkah, kira-kira 450 kilometer dari sini.

Sepanjang berada di Madinah Al Munawwarah, pelbagai aktiviti diatur antaranya menziarahi makam Nabi Muhammad, memasuki Raudhah di Masjid Nabawi serta menziarahi tempat bersejarah di sini.

Sementara itu, dua beradik, mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam Sarif Mohd Danial Sarif Rosli, 22, dan adiknya Sarif Mohd Nor Adam, 20, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) antara bakal haji yang tiba di sini.

Sarif Mohd Danial dari Jitra, Kedah melahirkan rasa syukur kerana terpilih menjadi duyufurrahman (tetamu Allah) dalam usia muda serta masih sihat dan bertenaga.

Di samping memfokuskan pada ibadat, pelajar jurusan logistik itu berkata dia turut mengikuti kelas pengajian secara dalam talian dan membuat tugasan sepanjang berada di Tanah Suci.

Pesara Jabatan Penjara Abdul Rahman Ibrahim, 62, dan isteri Jamilah Turiman, 56, pula berazam melakukan yang terbaik bagi memperoleh haji mabrur.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1989
Kongsi :
Previous post FAMA sasar buka 14 pasar tani baharu tahun ini
Next post Lelaki cedera parah akibat tertembak ketika memburu
Ubah saiz-+=