Kumpulan Karangkraf penerima Anugerah Hawana 2022

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

MELAKA, 29 Mei – Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) dipilih sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 pada majlis kemuncak sambutan HAWANA di sini hari ini.

Selepas dua tahun tidak diadakan kerana COVID-19, HAWANA 2022 yang berlangsung di negeri bersejarah itu menyaksikan Karangkraf yang berusia lebih 40 tahun membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai RM10,000.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan anugerah itu kepada Pengerusi Kumpulan Karangkraf Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Antara kriteria untuk dipilih sebagai penerima anugerah itu adalah berdaftar dan menunjukkan hasil kerja cemerlang, kupasan isu yang mendalam, berkualiti serta berimpak pada tahun yang dinilai.

Selain berdaftar, ia juga mengamalkan tatakelola serta nilai kewartawanan yang baik, selain menyumbang kepada pembangunan industri kewartawanan dan media di negara ini, manakala hasil karya terlibat harus menyumbang kepada pembangunan insan, keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Kumpulan Karangkraf membuat kemunculan pertama pada 1978 dengan Mingguan Kanak-kanak dan pada 1990, dan organisasi itu kemudiannya melebarkan skop perniagaan dengan penerbitan beberapa genre buku menerusi Alaf 21 dan Karya Bestari.

Pada 2006, kumpulan itu melahirkan akhbar kompak wilayah, Sinar Harian yang kemudiannya mencatat sejarah sebagai akhbar paling cepat berkembang di Malaysia.

Kini kumpulan media itu berdiri gah dalam industri dengan 13 keluaran majalah, penerbitan novel, percetakan, saluran media Internet dan pemberitaan akhbar.

Pada 2015, kumpulan itu memperkenalkan program Malaysia Ngaji disusuli Kempen World #QuranHour pada 2016 serta beberapa siri rantaian seperti Malaysia #QuranHour, Merdeka #QuranHour dan World #QuranConvention yang secara kumulatifnya merekodkan 2.475 bilion penyertaan.

Pada Februari 2021, inisiatif agresif membanteras rasuah diperkenalkan kumpulan itu menerusi #RasuahBusters membabitkan gabungan media, individu, pertubuhan serta syarikat swasta dengan kolaborasinya kini melibatkan 550 rakan strategik.

Anugerah HAWANA 2022 bertujuan mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di Malaysia.

Kali pertama HAWANA diadakan adalah pada 11 April 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade Kuala Lumpur. Sambutan julung kali bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’ itu dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari seluruh negara.

Pada 30 Nov 2021, kerajaan bersetuju mengekalkan tarikh 29 Mei setiap tahun sebagai Hari Wartawan Nasional. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1238
Kongsi :
Previous post PM umum peruntukan RM1 juta kukuh kerjasama media Malaysia-Indonesia
Next post Persatuan bas sekolah jamin tambang tidak bebankan ibu bapa
Ubah saiz-+=