Kumpul duit, hias bot dengan Jalur Gemilang
MERLIMAU 12 September – Seorang nelayan sanggup menghabiskan masa dua hari untuk menghias bot dengan Jalur Gemilang bagi menunjukkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan.
Abdullah Hasan,61, berkata, dia tidak pernah lupa meraikan sambutan kemerdekaan pada setiap tahun, malah turut menyertai pelbagai aktiviti berkaitan Hari Kebangsaan.
Katanya, jika sebelum ini dia sering menghabiskan masa menghias rumah dengan Jalur Gemilang, tahun ini berbeza sedikit kerana dia mahu menyertai Pertandingan Bot Berhias Merdeka daerah Jasin 2023, yang diadakan baru-baru ini.
“Selama 20 tahun menjadi nelayan tidak pernah sekali pun saya lupa untuk meraikan Hari Kebangsaan, sebelum ini saya masuk pertandingan rumah berhias, tetapi tahun ini saya mencipta kelainan dengan menyertai bot berhias pula.
“Sudah tentu semangat ini saya akan terapkan kepada anak-anak, biarpun dua tahun sebelum ini kita tidak dapat menyambut hari kebangsaan disebabkan wabak COVID-19 melanda negara, namun semangat partiotisme tidak pernah pudar dalam hati saya.
“Biarpun tidak mempunyai wang yang banyak untuk membeli kelengkapan menghias bot, tetapi saya kumpul wang sedikit demi sedikit sehingga cukup dan baharu lah boleh menghias bot,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jeti Kuala Merlimau, baru-baru ini.
Abdullah berkata, dia menyiapkan hiasan di bot tersebut seorang diri tanpa mendapatkan pertolongan daripada orang lain.
“Saya siapkan bot ini dalam masa dua hari, kerja-kerja menghias semua saya buat seorang diri dari pagi sampai ke lewat malam.
“Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik saya tidak pernah rasa rugi habiskan masa menyertai pertandingan ini sebab ini memang semangat dan minat saya untuk tunjukkan betapa saya menjiwai Hari Kebangsaan,” katanya.
Katanya, terdapat lebih 120 Jalur Gemilang pelbagai saiz yang dipasang dan dihias di botnya.
“Bot ini adalah kenderaan untuk saya mencari rezeki, sebab itu saya lagi bersemangat untuk menyertai pertandingan ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.