Sorting by

×

Kumpul artifak Kesultanan Melayu Melaka di Belanda

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 7 November – Penemuan pelbagai jenis artifak Zaman Kesultanan Melayu Melaka di Belanda menjadi cerminan dan membuktikan kemajuan dan keagungan negeri ini pada suatu ketika dahulu.

Antara artifak berkaitan sejarah Melaka ditemui di negara itu adalah peta, manuskrip, dokumen asal mengenai sejarah Melaka, surat-surat Kesultanan Melayu Melaka, manuskrip berkaitan hukum kanun dan undang-undang laut Melaka, surat-surat serta jurnal asal ditulis oleh Laksamana Belanda, Den Commandeur J.P. Van Braam.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, artifak berkenaan kini disimpan rapi di Muzium Tentera Nasional di Soesterberf,
Perpustakaan Universiti Leiden serta Arkib Nasional di The Hague

Berkongsi penemuan terkini itu Abdul Razak berkata, hasil lawatan ke Muzium Maritim Amsterdam pula menemukan dua lukisan tentang penentangan Raja Haji terhadap Belanda di Toeloe Catapang, Melaka.

“Menerusi surat yang ditulis Laksamana Belanda, ada menyebut tentang Melaka dan menerangkan tentang kehidupan harian, aktiviti perdagangan serta hubungan diplomatik di Melaka pada masa itu.

“Beberapa peta dari tahun 1647 juga turut ditemui yang menunjukkan topografi dan struktur bandar Melaka. Peta-peta tersebut memberikan gambaran jelas tentang pelabuhan, benteng, dan kawasan perdagangan penting di Melaka pada abad ke-17.

“Sementara itu semakan jurnal penulisan Van Braam pula ada menyebut tentang panji-panji peperangan telah diambil dari Melaka selepas kekalahan Raja Haji di Teluk Ketapang, Melaka sekitar tahun 1784,” katanya menerusi satu kenyataan.

Abdul Razak berkata, delegasi diketuai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan dianggotai Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Drs. Nasruddin Abdul Rahman serta Pengurus Besar Melaka World Heritage, Erne Hamsah.

Turut bersama delegasi adalah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan Pegawai Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Noorhayati Sahlan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri serius meneruskan usaha berkenaan bagi memastikan fakta dan cacatan sejarah kegemilangan Melaka dapat dibuktikan kepada dunia.

“Usaha murni ini akan diteruskan dengan lebih mendalam bagi memperlihatkan keseriusan kerajaan dalam mencari bukti-bukti sejarah kegemilangan Kerajaan Melaka yang terdapat di seluruh dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1384
Kongsi :
Previous post Promosi keunikan Melaka di Kota London
Next post Dicekup selepas curi wang jualan ‘Churros’
Ubah saiz-+=