
KUMPUL ANAK PERANTAU PANTAI KUNDOR, RAI AIDILFITRI BERSAMA
PANTAI KUNDOR 30 Mac – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor berhasrat untuk mengumpulkan anak-anak perantau kampung dalam satu majlis Hari Raya Aidilfitri yang dirai secara bersama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim berkata, usaha itu akan dijadikan satu tradisi dalam DUN berkenaan bagi mengeratkan kembali hubungan silaturahim di antara penduduk sama ada yang masih menetap atau sudah bekerja di luar Negeri Melaka.
“Saya minta kepimpinan Pemuda di DUN ini untuk mengesan anak-anak perantau dan tahun ini kita akan berusaha untuk mengumpulkan mereka dalam satu majlis meraikan Aidilfitri.
“Kita tahu ada di antara mereka ini terpisah apabia mula bekerja di luar Negeri Melaka, jadi kita mahu anjurkan majlis ini supaya dapat mengeratkan kembali hubungan.
“Bukan hanya ketika pilihan raya sahaja kita mencari mereka yang tinggal di luar Melaka, tetapi pada hari keraian dan musim perayaan juga kita perlu santuni dalam usaha memupuk kembali kebersamaan,” katanya kepada pemberita pada program Jom Kacau Dodol Peringkat DUN Pantai Kundor di Pentas Budaya Pantai Puteri, baru-baru ini.
Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri memaklumkan, sebagai wakil rakyat, beliau mahu penganjuran majlis hari raya bersama anak perantau itu dijadikan satu tradisi di DUN Pantai Kundor setiap kali tiba perayaan.
“Kita tahu di peringkat awal mungkin agak sukar untuk mengumpulkan mereka (anak perantau) ini, tetapi dengan kerjasama dan usaha semua, tidak mustahil kita berjaya anjurkan dan seterusnya majlis seperti ini menjadi salah satu keunikan yang dibawa di Pantai Kundor,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.