Kudung tangan bukan alasan tak kibar Jalur Gemilang

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

PANTAI KUNDOR 31 Ogos – Meskipun tidak mampu menggenggam Jalur Gemilang kerana pergelangan tangan kanan yang kudung, bekas anggota tentera Yaakob Hassan, 69, tidak mahu mengalah.

“Tidak mampu digenggam, ku kepit Jalur Gemilang sebagai tanda kasih dan cintaku pada tanah air dan sanggup ku korbankan nyawaku demi ibu pertiwi,” luahnya.

Kehilangan pergelangan tangan kanan dan cacat kekal tangan kiri akibat terkena jerangkap samar pengganas komunis pada 1976 tidak menghalangnya terus ‘mengibarkan’ kasih dan cintanya terhadap tanah air.

Bekas anggota Unit 21 Komando Regimen Gerak Khas (GGK) itu kehilangan pergelangan tangan kanan manakala tangan kiri cacat kekal, akibat terkena jerangkap samar ketika menyertai Ops Gubir II bersama-sama 44 anggota yang lain dalam hutan di sempadan Kedah/Thailand pada jam 10 pagi, 21 April 1976.

“Kejadian itu menyebabkan saya putus pergelangan tangan manakala pergelangan tangan kiri catat kekal, selain dua rakan saya putus kaki,” katanya.

Yaacob berkata, beliau dan rakannya kehilangan banyak darah dan sukar untuk dibawa keluar dari kawasan kejadian kerana hutan tebal yang melambatkan helikopter mendarat.

“Walaupun terpaksa menghadapi ancaman lebih 1,000 pengganas komunis, kejayaan tetap bersama-sama kami,” katanya ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan di kediamannya di Kampung Tanah Merah Jaya, Tanjung Kling di sini hari ini.

Yaakob adalah antara 12 bekas anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menerima sumbangan wang tunai, kek dan bendera kebangsaan sebagai mengenang budi dan jasa mereka dalam mempertahankan kedaulatan serta kemerdekaan negara.

 

TUKACHIL (kiri) menerima kek, Jalur Gemilang dan wang tunai daripada Nor Azman di kediamannya di Kampung Bukit Gedong, Tanjung Kling.

Seorang lagi bekas anggota GGK, Tukachil Zakaria, 70, amat bertuah kerana ulang tahun kelahirannya yang diraikan bersama-sama anggota keluarga, turut diserikan dengan kunjungan Nor Azman.

Dalam keadaan menanggung derita berikutan kehilangan kaki kanan akibat diabetes dan kaki kiri masih belum sembuh daripada luka, Tukachil tetap bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang.

“Saya dilahirkan pada 31 Ogos 1951 di Batu Pahat, Johor dan setiap kali menyambut ulang tahun kemerdekaan negara, saya turut menyambut ulang tahun kelahiran saya sendiri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bukit Gedong.

Nor Azman berkata, bekas anggota ATM dan PDRM itu dipilih selepas meneliti rekod perkhidmatan mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Jasa dan budi mereka kepada ibu pertiwi tidak mampu kita balas dengan wang ringgit dan semoga mereka menjadi contoh kepada generasi hari ini dalam usaha kita mendidik anak bangsa supaya kasih dan cinta akan negara ini tanpa berbelah bahagi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

717
Kongsi :
Previous post Agong: Integrasi nasional, perpaduan kaum kunci cabaran negara
Next post 30 cenderahati untuk ibu ‘anak merdeka’
Ubah saiz-+=