‘Kudung’ jari manis diserang babi hutan ketika petik serai
AYER MOLEK 31 Mac – Seorang warga emas putus sebahagian jari manis pada tangan kiri selain mengalami luka di beberapa bahagian badan akibat diserang babi hutan di Kampung Bukit Lintang, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, pada Rabu lalu, Akop Manap, 74, yang sedang memetik serai di belakang rumah tiba-tiba sahaja diserang babi hutan berkenaan dan terpaksa bergelut beberapa minit hingga menyebabkan kecederaan berkenaan.
Anaknya, Khalid, 40, berkata mujur ketika kejadian jiran menyedari serangan itu dan segera menghulurkan pertolongan kepada bapanya.
Ujarnya, betis bapanya yang merupakan seorang pesara kerajaan turut terkoyak akibat terkena taring haiwan itu.
“Akibat kecederaan itu, bapa saya terpaksa ditahan selama tiga hari di Hospital Melaka sebelum dibenarkan pulang ke rumah Jumaat lalu.
“Walaupun sedang berehat di rumah, namun bapa saya masih trauma sehinggakan tidur malamnya turut terganggu.
“Saya berharap Jabatan Perhilitan dapat membuat pemantauan sebab saya risau babi jantan akan datang menyerang memandangkan saya difahamkan yang menyerang bapa sebelum ini adalah babi hutan betina,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Mohd Firrdhaus Mahmood berkata, pihaknya menerima aduan berkenaan dan akan membuat pemantauan lebih kerap di kawasan berkenaan bagi mengelakkan insiden berulang.
Beliau berkata, sejak September tahun lalu pihaknya giat menjalankan Operasi Hapus Babi Hutan (Ops Siong) bagi membanteras makhluk perosak itu.
“Sepanjang tahun ini, kita masih aktif menjalankan Ops Siong, namun jumlah babi yang dihapuskan tahun ini sedikit berkurangan dengan purata jumlah di bawah 10 ekor setiap minggu berbanding 15 hingga 40 ekor seminggu pada tahun lalu.
“Berdasarkan rekod, kita percaya babi hutan yang tinggal adalah saki baki sahaja, namun kita tidak boleh membiarkannya dan perlu terus melakukan pemantauan serta operasi secara berkala agar graf pembiakan babi hutan menurun kerana ia cepat membiak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.