Kudung bukan penghalang laksana kebajikan
BUKIT BARU 24 Ogos – Walaupun berstatus orang kurang upaya (OKU), namun ia bukan penghalang untuk meneruskan perjuangan membantu golongan memerlukan.
Bagi Chenny Tan, 68, yang merupakan sebatang kara, kini dibantu dua cucu angkatnya, bertekad untuk membantu golongan memerlukan di pusat khidmat masyarakat atas inisiatifnya sendiri.
Menurutnya, penghujung 2016 merupakan tahun yang tidak dapat dilupakan selepas mengalami jangkitan kuman dari gigitan anjing peliharaannya dan melarat sehingga membuatkannya koma.
“Doktor menasihatkan kaki saya terpaksa dipotong bagi mengelakkan jangkitan merebak sehingga boleh mendatangkan maut.
“Namun biarpun kekurangan yang ada, saya tetap ingin membantu masyarakat terutama golongan warga emas dan anak yatim kerana bagi saya golongan ini masih ramai yang tagih bantuan di negeri ini.
“Saya akan tetap terus berjuang membantu mereka malah berhasrat untuk membina sebuah rumah orang tua dan anak yatim pada masa akan datang sebelum ‘pemergian’ saya nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini
Ujarnya, Pusat Khidmat Masyarakat Ronsome dan Chenny yang terletak di Bukit Baru, merupakan usaha keras bersama rakannya Ronsome Ho Choon Seng, 58, banyak mengagihkan bantuan kit makanan kepada individu memerlukan
Antara lain, agihan makanan vegetarian yang siap dimasak juga disediakan dan disumbangkan kepada orang ramai yang berkunjung ke pusat itu.
Sementara itu, Choon Seng berkata, setakat ini lebih 700 kit makanan telah diagihkan sejak pandemik COVID-19 mula melanda.
“Bantuan kebajikan dilaksanakan ini merupakansumbangan orang ramai termasuk golongan profesional seperti doktor yang banyak membantu kami setiap kali dana diperlukan.
“Selain membantu penduduk sekitar, kami juga menyasarkan untuk membantu pekerja asing yang terjejas dengan pandemik ini.
“Hasil keprihatinan ramai, kita memungut peruntukan lebih RM20,000 dari pelbagai individu sejak awal penularan pandemik COVID-19,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.