Kucing jadi penonton dua ular ‘bergusti’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

ALOR GAJAH 8 Jan. – “Selalunya saya tengok ular ‘bergusti’ dalam dokumentari di televisyen sahaja, tapi kali ini berlaku di depan mata dan memang mengejutkan.

Itu pengalaman diceritakan Helmi Mahmud, 48, dari Kampung Padang Kerbau, Durian Tunggal dekat sini yang berpeluang menyaksikan dua reptilia, ular tedung dan ular sawa ‘berlawan’ di hadapan rumahnya sekitar jam 7 pagi tadi.

Menurutnya, kejadian disedari isterinya, Hasnizawati Md Zinin, 40, ketika sedang membuka pintu rumah.

PREBET Osman Mat Din menangkap ular tedung selar dan ular sawa di rumah penduduk di Kampung Padang Kerbau.
/ FOTO IHSAN APM ALOR GAJAH

“Sebaik melihat dua ekor ular itu sedang bergaduh, isteri menjerit ketakutan menyebabkan saya bergegas keluar dan ternampak seekor ular tedung selar tidak bergerak di atas rumput.

“Saya sangka ular itu sudah mati, tapi bila diamati baru perasan ia sedang menggigit anak ular sawa itu yang membelit badannya sambil disaksikan dua ekor kucing peliharaan kami tidak jauh dari situ,” katanya dihubungi di sini.

Helmi berkata, bimbang kejadian tidak diingini berlaku, dia segera menghubungi bantuan Angkatan Pertahan Awam (APM) Alor Gajah.

“Sebelum ini memang ada kes ular sawa masuk ke reban ayam saya, tapi kejadian kali ini memang betul-betul pelik,” katanya sambil berterima kasih kepada anggota APM atas tindakan pantas mereka.

Sementara itu, Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA), Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.06 pagi.

“Sepasukan lima anggota termasuk Ketua Skuad, Sarjan Faisal Ahmad dikejarkan ke lokasi untuk menangkap ular berkenaan.

“Anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular tedung selar sepanjang dua meter serta ular sawa itu dan dilepaskan ke habitat asal, jauh dari penempatan penduduk,” katanya.

 

Views:

1304
Kongsi :
Previous post Rangka pelan kontigensi bekal sumber air mentah – KM
Next post PKM: 29 pesalah sudah jalani hukuman – JKM
Ubah saiz-+=