Kucing buta harumkan nama Melaka
REMBIA 9 Sept. – Biarpun bukan dilahirkan dari baka ribuan ringgit ditambah pula kecacatan buta sejak lahir, namun kelebihan yang ada pada si bulus ini bakal membawa nama Melaka ke peringkat dunia.
Seekor kucing jalanan diberikan nama Abam Ungkalicious yang celik sebelah mata kiri telah mengungguli anugerah di tangga kedua dalam pertandingan Cat Fancier’s Assocation (CFA) International Division Award 2020, baru-baru ini.
Menurut pemiliknya Rozita Haron, 50, berkata, Abam yang berusia lapan tahun itu telah berjaya menandingi kucing dari beberapa negeri dalam kategori ‘Household Pet’ yang diadili juri profesional seluruh dunia itu.
“Dalam pertandingan liga yang dipertandingkan ini ‘Abam’ telah menggungguli antara mata tertinggi dan merupakan antara tangga ‘Top 10’ menerusi beberapa peringkat di beberapa negeri termasuk Terengganu Johor Bahru Pulau Pinang, Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Melalui anugerah ini juga Abam mendapat tempat kedua dengan mata sebanyak 465.40 dan hampir mengalahkan juara pertama pertandingan yang memperoleh 466.45 mata yang dilihat dengan perbezaan hampir satu mata saja lagi.
“Apa pun, Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah yang diberikan kerana tidak menyangka seekor kucing yang cacat penglihatan ini telah mencuri perhatian juri dan mampu menepati beberapa kriteria yang ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, Rozita yang merupakan pencinta Si Bulus itu telah banyak berbakti dengan kucing yang diabaikan di jalanan dan kini telah memiliki lebih 50 ekor dirawat dan dibela dirumahnya.
Ujarnya, derita yang dilihat pada Abam ketika berusia lingkungan 2 bulan ditemuinya di Pasar Alor Gajah membuatkannya terkilan dengan keadaan matanya yang tersembul keluar ketika itu.
“Saya bergegas mendapatkan rawatan doktor dan ketika itu doktor telah mengesahkan matanya perlu dibuang disebabkan jangkitan kuman pada matanya yang terlalu lama.
“Malah ketika itu doktor turut mengesahkan pembedahan yang dijalankan itu bakal menyebabkan kehilangannya disebabkan masih kecil dan tidak mampu menghadapi suntikan bius, tapi saya tawakal dan nekad untuk teruskan pembedahan itu biarpun terpaksa berhabis ratusan ringgit.
“Alhamdulillah, sehingga kini Abam hidup bergantung sebelah mata walaupun dia serba kekurangan namun kehidupannya dilihat lebih aktif dari kecil berbanding kucing-kucing lain,” katanya.
Rozita berharap peranan itu perlu dititikberatkan bagi bersama membela nasib kucing jalanan sepertinya perlu dipandang oleh semua pihak dengan menanam sifat kemanusiaan yang tinggi.
“Dengan kejayaan Abam ini saya harap ia menjadi inspirasi kepada pencinta kucing jalanan yang lain di negara ini kerana biarpun mereka serba kekurangan namun kita tidak pasti apakah rezeki yang dikurniakan sekiranya kita saling menyayangi antara manusia dan haiwan.
“Setakat ini kami masih belum mampu menanggung kos untuk mendaftarkan Abam dalam pertandingan luar negara, namun sekiranya ada pihak yang sudi membantu kami menerimanya dengan hati terbuka untuk bersama-sama menjadikan Abam sebagai kucing ikonik peringkat dunia,” katanya.