Sorting by

×

Kuat demi anak-anak pesan terakhir arwah suami

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

LENDU 5 Mei – “Tanpa sedar arwah suami banyak tunjukkan perubahan diri namun saya tidak syak apa-apa cuma selepas pemergiannya baru saya sedar.

“Antaranya kerap kali dia berpesan, mama kena kuat walau apa pun yang berlaku demi anak-anak,” kata Nur Aleeza, 31, isteri kepada arwah Sazali Mohamad, 36, yang terbabit dalam kemalangan maut, dua hari sebelum tibanya Syawal.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 18 April, Sazali yang menunggang motosikal maut selepas merempuh seekor kerbau ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Tanjung Bidara selepas berjumpa rakan.

Menurut ibu kepada lima anak itu, meskipun kehilangan suami yang dinikahinya sejak 12 tahun yang lalu adalah tamparan hebat buat diri namun demi anak-anak yang berusia tiga hingga 11 tahun itu, dia perlu kuat.

“Kebiasaan setiap kali raya kami akan membuat persiapaan di saat akhir tetapi kali ini 10 hari sebelum Aidilfitri arwah suami sudah membawa saya dan anak-anak ke Kuala Lumpur untuk membeli baju raya.

“Malah daging dan ayam juga arwah suami sudah belikan, seakan dia sudah tahu akan pergi dan membuat persiapan untuk kami.

“Sudah semestinya pagi Syawal kali ini amat berlainan malah anak bongsu kerap bertanyakan mana ayahnya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Solok Duku, hari ini.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Skuad Perkeso Prihatin yang dihadiri Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Siti Faizah Abdul Azis; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengarah Perkeso Melaka, Abd Razak Omar.

WhatsApp Image 2023-05-05 at 17.39.46
Nor Aleeza bersama anak-anak melihat gambar arwah suaminya.

Menceritakan kemalangan yang menimpa suaminya itu, Nur Aleeza berkata, dia yang risau suaminya masih tidak pulang meskipun sudah jam 12.40 tengah malam bertindak menelefon arwah tetapi panggilan itu dijawab individu tidak dikenali dan memintanya ke lokasi kejadian.

“Ketika itu saya diberitahu suami kemalangan dan sedang menunggu ambulans jadi saya beranggapan hanya cedera sahaja sebelum bergegas ke lokasi bersama anak kedua.

“Ketika sampai di tempat kejadian, anak tiba-tiba menjerit sebaik melihat badan yang ditutupi kain, dia kenal itu papanya berdasarkan stoking dan juga selipar dipakai arwah,” katanya.

Sementara itu, Siti Faizah berkata, berdasarkan semakan dibuat pihak Perkeso mendapati isteri arwah layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat.

“Untuk FPM Perkeso sudah membuat bayaran berjumlah RM2,000 dan Pencen Penakat pula akan diterima secara bulanan sebanyak RM916.67 setiap bulan sehingga anak-anak berusia 21 tahun,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3854
Kongsi :
Previous post Jumlah kes COVID-19 meningkat tiga peratus minggu lepas
Next post 30 dikompaun kerana buang sampah – MBMB
Ubah saiz-+=