KUAM 2024: TARIK MINAT ANAK MUDA SERTAI TENTERA

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BATU BERENDAM 4 November – Penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 memberi peluang kepada pengunjung terutamanya anak muda untuk mengetahui tentang operasi dan fungsi sesebuah pesawat atau aset tentera.

Diberikan tanggungjawab bertugas sepanjang KUAM 2024, Bintara Kanan TMK (JP) Asnur Rasif dari dari Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, menggunakan peluang ini sebagai platform ‘berkongsi cerita’ bagaimana sesebuah aset itu digunakan pasukan tentera sama ada dalam eksesais ataupun operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut Asnur, selain berkongsi maklumat dan perincian, secara tidak langsung ia dapat memupuk minat golongan remaja terutamanya untuk memilih bidang ketenteraan.

“Selain datang untuk bergambar dengan aset, ramai pengunjung yang dekati kami untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang pesawat Fennec ini selain digunakan untuk melatih juruterbang baharu dan SAR.

“Meskipun soalan-soalan yang ditanya itu jawapannya boleh diperoleh di internet namun menurut pengunjung, penerangan secara bersemuka seperti di karnival seperti ini lebih jelas dan mudah difahami.

“Menariknya ada juga yang datang kepada kami bertanyakan tugas Bintara Kanan dan bagaimana untuk mengikut jejak kami sejurus selepas tamat sekolah menengah. Jadi saya berikan mereka penerangan dan panduan untuk adik-adik ini,” katanya.

Asnur ditemui Melaka Hari Ini pada hari terakhir penganjuran KUAM 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), semalam.

Menurutnya, berpeluang bertugas buat pertama kali di KUAM 2024 memberi pengalaman cukup istimewa buat dirinya kerana berkongsi peranan dan tugas TLDM kepada orang ramai.

“Jika diberi peluang untuk bertugas lagi di KUAM pada tahun hadapan saya akan sertainya lagi kerana orang-orang di Melaka memang baik serta ramah,” katanya.

Img 20241103 184349 727
JURUTEKNIK Pesawat, Rejimen 883 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD), Ian Daglish. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Sementara itu, Juruteknik Pesawat, Rejimen 883 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) Ian Daglish berkata, dirinya amat berbesar hati apabila sekali lagi terpilih untuk bersama-sama bertugas dan menjayakan KUAM 2024 kerana banyak informasi yang ingin dikongsikan bersama pengunjung.

“Dua tahun berturut-turut diberikan tanggungjawab untuk menyantuni pengunjung di KUAM memberi peluang kepada diri saya berkongsi ilmu serta pengetahuan yang ada dengan orang ramai.

“Dalam tentera kami banyak bidang dan skop tugas, misalnya dalam penyelenggaraan pesawat dan helikopter, kami sebagai juruteknik adalah individu yang bertanggungjawab.

“Dengan adanya penganjuran seperti ini, kami secara tidak langsung dapat sampaikan atau memberi penerangan dengan lebih jelas,” katanya yang bertugas di Kem Mahkota, Kluang Johor.

Jelasnya, penganjuran KUAM 2024 amat berjaya apabila sepanjang empat hari penganjuran karnival itu, LTAM sentiasa dipenuhi pengunjung yang mahu melihat lebih dekat pelbagai aset dan tarikan yang disediakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

70
Kongsi :
Previous post LHDN TIDAK PERNAH HANTAR PAUTAN STATUS BAYARAN BALIK MELALUI PORTAL MYTAX
Next post KES MENURUN, TETAPI KERUGIAN AKIBAT JENAYAH SIBER MENINGKAT
Ubah saiz-+=