KUAM 2024 DISERBU PELANCONG LUAR NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

BATU BERENDAM 3 November – Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) 2024 bukan sahaja dibanjiri pengunjung dari dalam negara bahkan luar negara.

Ia selepas karnival selama empat hari bermula 31 Oktober lalu turut diserbu pengunjung dari Singapura, Thailand dan Indonesia.

Pengurus Besar Bahagian Promosi dan Pelancongan (BPP) Jabatan Ketua Menteri Melaka Sa’ari Basiron berkata, kehadiran luar biasa pengunjung itu dijangka dapat mencapai 30,000 jualan tiket sepanjang empat hari acara itu diadakan.

“Karnival ini diadakan bermula 31 Oktober lalu, alhamdulillah sambutan sangat meriah terutama pada Sabtu (2 November) yang mana kita menerima lebih 7,000 pembelian tiket.

“Jumlah pembelian tiket ini tidak termasuk pengunjung yang datang melihat pameran di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

“Jadi, kita jangkakan pembelian tiket pada hari terakhir juga terus meningkat memandangkan terdapat pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung seperti pertunjukan payung terjun,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada hari terakhir KUAM 2024 di LTAM di sini, hari ini.

Sa’ari berkata, kemeriahan itu sekali gus memberikan impak positif dalam menyokong sektor pelancongan Negeri Melaka bukan sahaja sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), bahkan pada tahun-tahun mendatang.

“Kami (BPP) sentiasa bersedia menyokong Kerajaan Negeri dalam pelbagai acara diadakan khususnya membabitkan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

963
Kongsi :
Previous post HARI TERAKHIR KUAM 2024 ‘LUAR BIASA’
Next post BOLA BALING: MELAKA AKHIRI KEMARAU LEBIH 20 TAHUN
Ubah saiz-+=