KUALA LINGGI JADI HAB PENDIDIKAN PELBAGAI BIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KUALA LINGGI 11 September – Selain dikenali sebagai universiti sains sosial dan keilmuan islam, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) komited mengorak langkah bagi menjadikan institusi itu mahu dikenali sebagai pusat pengajian kejururawatan dan perundangan.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah berkata, ia sekali gus akan meletakkan nama universiti terbabit sebagai pusat pengajian unggul yang bukan sahaja menjadi tumpuan negara, bahkan di seluruh dunia.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi berkata, hasrat itu juga mampu menjadikan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai sebuah hab pendidikan dalam pelbagai bidang pada masa akan datang.

“Melihat langkah yang diambil UNIMEL dengan mengadakan kerjasama beberapa negara merupakan satu langkah yang proaktif untuk membangunkan universiti ini sebagai pusat penyelidikan dan cendekiawan.

“Perkembangan ini akan membawa limpahan kepada seluruh masyarakat kerana selain memperkasa pendidikan ia bakal menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sebagai persediaan kita berdepan dengan pembangunan-pembangunan mega yang bakal dibangunkan di Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan 2nd International Conference On Syariah and Law (ICSAL 2024) dan Nursing and Healthcare International Conference (NHIC 2024) di Auditorium Ibn Khaldun, UNIMEL, di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora serta tetamu lain.

Terdahulu, dua program diadakan serentak itu melibatkan kira-kira 300 peserta termasuk pelajar, para akademik yang akan membentangkan kajian yang dilaksanakan berkaitan bidang kejururawatan dan perundangan.

Program tersebut turut menampilkan 20 pembentang, terdiri daripada pensyarah dan penyelidik daripada sebuah universiti di Medan, Indonesia bagi bersama menyuarakan setiap perbincangan yang diadakan sepanjang seminar tersebut.

Dalam pada itu, Rosli berkata, seminar tersebut berupaya memartabatkan kedua-dua bidang itu kepada peringkat yang lebih tinggi menerusi kajian-kajian yang telah dilaksanakan.

“Ia bertepatan bagi memperkasa undang-undang syariah dan sivil yang seiring dengan perkembangan global yang menjadi kebimbangan orang ramai kerana undang-undang ini adalah tunjang utama kepada kestabilan sosial dan kemakmuran sesebuah negara.

“Syabas juga diucapkan kepada UNIMEL yang memartabatkan peranan kejururawatan ini kerana ia akan memastikan kesejahteraan kesihatan dan profesion ini tidak boleh dipandang ringan terutama dalam menghadapi cabaran kesihatan yang semakin kompleks pada hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

153
Kongsi :
Previous post TERLELAP PUNCA MYVI ‘TERJUN’ JAMBATAN
Next post LHDN KENAL PASTI 327 KES BERKAITAN CUKAI DI MELAKA
Ubah saiz-+=