Sorting by

×

Kuala Linggi: Hakisan pantai, industri pelancongan dan perikanan fokus calon BN

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KUALA LINGGI 15 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah memberi tumpuan kepada usaha mengatasi masalah hakisan pantai, memajukan industri pelancongan dan meningkatkan perdagangan perikanan.

Ini kerana masalah hakisan pantai di Kuala Sungai Baru dan Tanjung Dahan yang menghantui nelayan dan penduduk pantai tidak pernah terpadam sejak lebih tiga tahun lalu.

Bekas guru Sekolah Kebangsaan Kuala Linggi itu berazam membantu nelayan mengatasi masalah hakisan pantai yang bukan setakat mengakibatkan mereka sukar menurunkan perahu ke gigi pantai, malah mengancam penghuni kediaman yang hampir dengan laut.

Beliau berkata, antara kawasan yang diancam hakisan ialah Kampung Tengah, Kampung Telok Gong dan Kampung Tanjung Dahan berikutan angin kencang dari arah barat dan selatan.

“Masalah hakisan pantai sudah berlarutan sejak tiga tahun lalu dan setiap kali masalah itu berlaku, kerajaan negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengatasinya dengan membina benteng pemecah ombak dan tembok penahan ombak.

“Jika saya dipilih sebagai wakil rakyat, insya-Allah saya dan kerajaan negeri serta JPS akan mencari kaedah paling baik bagi menjalankan kerja pembaikan pantai yang terhakis,” katanya ketika ditemui bersarapan dengan anggota komuniti di pekan Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.

Rosli, 53, juga berkata, aspek lain yang menjadi fokusnya ialah membantu memajukan industri pelancongan berikutan keindahan pantai Tanjung Dahan dan Kuala Sungai Baru yang menawan pelancong dari dalam dan luar Melaka.

Rosli berhadapan cabaran calon Pakatan Harapan-AMANAH, Julasapiyah Kassim, selain Aziah Mohd Saad (Perikatan Nasional-PAS) dan Kamisan Palil (Bebas).

Pada PRU-14, Kuala Linggi dimenangi Datuk Ismail Othman dengan majoriti undi 1,372.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

633
Kongsi :
Previous post Calon PRN Melaka boleh guna platform RTM perkenal diri – Reezal
Next post “Tidak pandai kata manis, tapi janji khidmat bakti sepenuh hati – Fairul
Ubah saiz-+=