Sorting by

×

Kuala Linggi dan Nyalas perlukan balai bomba

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Kerajaan Negeri sedang mendapatkan tapak dan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan dua balai bomba baharu di negeri ini.

Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin berkata balai bomba itu akan dibina di kawasan Kuala Linggi dan Nyalas, Asahan sekali gus memudahkan penduduk di kawasan pedalaman menangani masalah kecemasan.

Katanya, sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menambah dua balai bomba baharu.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi memang perlu ada balai bomba sekurang-kurangnya lima kilometer, sebab yang sedia ada ini terlalu jauh di Masjid Tanah. Jadi, apabila tiba musim perayaan tempoh masa untuk pihak bomba sampai ke kawasan ini sangat lambat

“Ini kerana Kuala Linggi adalah kawasan kampung pedalaman, begitu juga dengan Nyalas, masa untuk sampai ke lokasi ini memakan masa sebab itu kita perlukan balai bomba baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat JBPM Negeri Melaka Tahun 2023 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JBPM Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain.

Zulkiflee berkata, setakat ini di Melaka terdapat sebanyak 11 balai bomba dan dua zon untuk menangani situasi kecemasan di negeri ini.

“Biarpun kawasan tersebut tidak besar tapi kita mahu pihak bomba dapat menyampaikan perkhidmatan mereka secara menyeluruh kepada masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1331
Kongsi :
Previous post Buli: ‘Task Force’ tumpu sekolah berasrama
Next post Ada bahan boleh sebabkan kebakaran pada botol disyaki IED – Ayob Khan
Ubah saiz-+=