Sorting by

×

KUALA LINGGI BUKA TIRAI WRUR, PELBAGAI PROGRAM RAKYAT DISUSUN 2 MINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LINGGI 4 Januari – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi secara rasminya membuka tirai program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang berlangsung selama dua minggu, bermula hari ini.

WRUR yang merupakan cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bertujuan menyantuni permasalahan rakyat, selain memastikan agenda pembangunan dapat disusun dengan lebih baik bagi merancakkan kemajuan di kesemua 28 DUN dalam Negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah berkata, selama dua minggu pelbagai program serta aktiviti telah dirangka Kerajaan Negeri untuk rakyat di kawasan itu.

Jelas beliau, antara aktiviti yang disusun adalah perasmian denai Sungai Parit Besar yang bakal menjadi satu lokasi riadah baharu, selain gotong-royong mengindahkan DUN Kuala Linggi dengan penglibatan pemimpin, masyarakat serta agensi dan jabatan kerajaan.

Selain itu, beliau memaklumkan, turut diadakan pertandingan memancing kolam air masin percuma kepada 250 warga DUN Kuala Linggi terawal, ziarah kasih, pameran, program pendidikan dan TVET serta van bergerak Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah.

“Acara kemuncaknya adalah pada 18 Januari, di mana akan diadakan perasmian Rumah Kahwin Kuala Sungai Baru, ‘fun walk’, kenduri rakyat serta permainan sukan tradisional seperti dam aji dan congkak.

“Selain itu, akan diadakan Jualan Rahmah, Hari Bertemu Rakyat serta perasmian dewan di Sekolah Kebangsaan Othman Shawal yang akan disempurnakan Ketua Menteri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fb Img 1735933588017

Rosli yang juga Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri berkata, WRUR itu merupakan suatu menifestasi menunjukkan Kerajaan Negeri prihatin dan cakna untuk membantu rakyat di segenap pelusuk sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.

Justeru, beliau menyeru seluruh warga Kuala Linggi untuk hadir dan memanfaatkan program yang diatur selama dua minggu bagi bersama membangunkan DUN itu menjadi sebuah kawasan yang membangun dan sejahtera di masa akan datang.

“Saya mewakili warga Kuala Linggi merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri yang telah memilih DUN ini sebagai DUN pertama untuk program WRUR.

“Semoga menerusi program ini, DUN Kuala Linggi akan mendapat pelbagai limpahan manfaat baik dari sudut kemudahan mahupun pembangunan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

217
Kongsi :
Previous post NASIB ENAM BERADIK YATIM PIATU DAPAT PERHATIAN KERAJAAN NEGERI
Next post ABDUL KHALIL DILANTIK NAIB CANSELOR BAHARU UNIMEL
Ubah saiz-+=