Sorting by

×

KTMB perkenal kios tiket layan diri tanpa tunai

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Selepas memperkenalkan sistem pembelian tiket dalam talian, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah baik sistem jualan tiket dengan memperkenalkan kios layan diri tanpa tunai bagi perkhidmatan trennya.

Ketua Komunikasi Strategik KTMB Ahmad ‘Asri Khalbi berkata, orang ramai kini boleh membeli tiket tanpa tunai melalui mesin baharu yang diperkenalkan untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS), KTM Antarabandar dan KTM Komuter di wilayah utara, mulai Khamis lepas (15 Okt).

Katanya, keistimewaan kios baharu menggunakan KTMB Integrated Ticketing System (KITS) itu akan memudahkan pengguna membeli tiket dengan kad kredit, debit dan sebagainya.

“Kaedah baharu itu adalah tambahan kepada sistem pembelian tiket KITS sebelum ini iaitu pembelian melalui kaunter, secara dalam talian dan menggunakan aplikasi KTMB Mobile,” katanya kepada Bernama.

Ahmad ‘Asri berkata semua tambang konsesi juga boleh dibeli melalui kios layan diri ini berbanding sebelum ini yang memerlukan mereka berurusan di kaunter.

“Pelanggan hanya perlu mendaftar melalui aplikasi KITS atau di laman sesawang KTMB di www.ktmb.com.my bagi menikmati diskaun tambang yang ditawarkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, pembelian tiket komuter di mesin baharu itu hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan tren itu di wilayah utara iaitu dari stesen Padang Rengas, Perak hingga ke Butterworth, Pulau Pinang dan Padang Besar, Perlis.

“Setakat ini, kios jualan tiket perkhidmatan komuter di Lembah Klang masih menggunakan mesin jualan tiket layan diri berasaskan sistem token dan tunai,” katanya.

Sementara itu, Ahmad ‘Asri berkata hanya lapan perkhidmatan ETS yang akan beroperasi setiap hari mulai 14 sehingga 27 Okt ini, berbanding 32 sebelum ini, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jelasnya, perkhidmatan itu melibatkan perjalanan di antara Stesen Gemas, KL Sentral, Ipoh, Butterworth dan Padang Besar.- BERNAMA

Views:

874
Kongsi :
Previous post South Korea to lift export ban on mask filters
Next post Contractor duped by Facebook advertisement on sale of cheap 4WD
Ubah saiz-+=