KSI-MMU hab promosi bahasa dan budaya Korea
AYER KEROH 25 Mei – Universiti Multimedia (MMU) bakal menjadi hab dalam mempromosikan bahasa dan budaya Korea menerusi King Sejong Institute (KSI)-MMU.
Presiden MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud berkata, menerusi jalinan kerjasama itu MMU menjadi cawangan ketiga untuk KSI di negara ini dan antara 234 institut seluruh dunia.
Katanya, penubuhan KSI-MMU secara tidak langsung membantu mempertingkatkan keterlihatan global lebih ketara bagi kedua-dua institusi ini.
“Saya percaya KSI-MMU ini akan menjadi platform bukan sahaja kepada warga MMU malah orang ramai untuk mempertingkatkan kemahiran bahasa Korea.
“Objektif kerjasama ini adalah memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka dan memahami dunia Korea melalui pelbagai acara, pertandingan serta kelas pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran KSI-MMU, di Kampus MMU Melaka, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Duta Republik Korea Lee Chi Beom, Konsulat Korea Ke Malaysia Na Sae Ju dan Pengarah KSI-MMU Melaka Dr Ong Sue Lyn.
Menurutnya, MMU adalah antara 25 institut baharu yang terpilih daripada 120 permohonan seluruh dunia untuk menjadi sebahagian daripada KSI.
“Program ini juga akan mendedahkan peserta kepada budaya Korea yang kini popular di seluruh dunia selain acara kebudayaan negara itu.
“Dikesempatan ini saya mengambil peluang mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada KSI-MMU Melaka kerana berjaya anjurkan program ini selain ia akan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mempelajari budaya Korea,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan KSI Lee Hae Young berkata, walaupun berlakunya penuLaran wabak COVID-19 namun bilangan pelajar di KSI di Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 20 peratus.
“Perkembangan ini membuktikan bahawa bahasa dan budaya Korea adalah popular di negara ini.
“Malah selaras dengan trend semasa KSI-MMU kini menyediakan pembelajaran bahasa dalam talian melalui aplikasi pelbagai kandungan untuk perkongsian pendidikan dan budaya Korea yang lebih dinamik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.