Kru kapal layar dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh laut
ALOR SETAR, 12 Mei – Seorang lelaki yang juga kru sebuah kapal layar dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh daripada sebuah bot di perairan Kuah, Langkawi petang tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata maklumat diterima daripada orang awam berhubung kejadian itu lebih kurang pukul 6.15 petang yang menyatakan seorang lelaki disyaki terjatuh ke dalam perairan berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim yang berumur 23 tahun dan bekerja sebagai kru Sunset Dinner Cruise yang berasal dari Alor Setar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Shariman berkata berdasarkan siasatan awal dan temu bual dengan rakan sekerja mangsa mendapati dia dipercayai terlewat hadir tugas dan kapal layar yang sepatutnya dinaiki berlepas pada pukul 4.30 petang sekali gus membuatkan lelaki itu cuba mengejar kapal layar itu dengan menggunakan bot kecil.
“Pada lebih kurang pukul 5.00 petang, sebuah bot pemancing yang pulang dari Pulau Bumbun menghala ke Yacht Club telah menemui bot kecil tanpa orang dan mendapati sepasang selipar serta satu topi terapung berhampiran bot kecil berkenaan, lalu mendapatkan pertolongan rakan. Seterusnya mereka menghubungi pihak polis,” katanya.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada pukul 8.50 malam tadi memandangkan hari telah pun gelap dan akan disambung esok.
“Operasi mencari dan menyelamat ini telah dijalankan oleh pasukan polis marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, bomba dan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia),” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.