KRT perlu dorong rakyat daftar vaksin – Sulaiman

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

AYER KEROH 25 Mac – Semua jentera komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di negeri ini digesa memainkan peranan menyokong Program Vaksinasi Kebangsaan demi memutuskan rantaian COVID-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, KRT harus memperkasakan lagi peranan dan perkhidmatan mereka ke tahap yang terbaik untuk masyarakat setempat.

“Saya difahamkan pada masa ini, terdapat sebanyak 249 buah KRT di seluruh Negeri Melaka dengan jumlah keahlian seramai 6,250 orang.

“Saya berharap semangat kesukarelawan yang wujud dalam Rukun Tetangga ini akan dapat terus diperkasakan melalui kesemua inisiatif yang diperkenalkan melalui Pelan Pemerkasaan Komuniti Rukun Tetangga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga Negeri Melaka 2021- 2030 dan Program Malaysia Prihatin Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Vaksin Untuk Semua di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Wira Halimah Mohamed Sadique dan Timbalannya Senator Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Dr Hasim Hasan.

Turut sama Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Wira Ar Ismail Othman.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai platform dan kaedah untuk mendaftar sebagai penerima suntikan ini.

“Setakat 23 Mac 2021, seramai 205, 218 iaitu 29.28 peratus rakyat Melaka telah mendaftar di aplikasi MySejahtera.

“Ini menunjukkan bahawa, masih ramai
lagi individu yang belum mendaftar sebagai penerima suntikan vaksin COVID-19 terutamanya warga emas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata program pada hari ini bukan sahaja untuk mendorong komuniti mendaftar penerimaan vaksin, namun diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keperluan dan keberkesanan suntikan vaksin.

Pada 28 Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030 bagi memperkasa peranan KRT di peringkat akar umbi menerusi kerjasama kementerian dan agensi berkaitan.

Di bawah pelan itu, empat Agenda Kerja KRT diperkenalkan iaitu Agenda Kerja KRT Selamat, Agenda Kerja KRT Sihat, Agenda Kerja KRT Bersih dan Indah serta Agenda Kerja KRT Sejahtera yang bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan inisiatif Rukun Tetangga.

Pelan itu merupakan satu daripada strategi yang telah digariskan dalam Dasar Perpaduan Negara dan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

629
Kongsi :
Previous post Kapal tangki pendaftaran Tanzania ditahan tiada insurans
Next post Sulaiman ‘tabik’ perih getir pengorbanan polis
Ubah saiz-+=