KRT Bukit Nangka rangkul tempat ketiga Anugerah Pengurusan Jiran Muda Terbaik 2023
AYER KEROH 7 November – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perumahan Bukit Nangka, Alor Gajah berjaya merangkul tempat ketiga Anugerah Pengurusan Jiran Muda Terbaik pada Anugerah Perdana Rukun Tetangga Peringkat Kebangsaan 2023 baru-baru ini.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata Negeri Melaka menghantar tujuh pencalonan namun hanya satu KRT sahaja yang layak ke peringkat akhir bersama lima finalis dari KRT seluruh Malaysia.
Katanya, majlis anugerah tersebut telah diadakan pada 5 November lalu di Bangi dan telah dirasmikan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
“KRT Taman Perumahan Bukit Nangka, Alor Gajah wakil tunggal dari Melaka yang menerima anugerah terbabit dan berada di tempat ketiga di belakang Selangor dan Sabah.
“Anugerah Perdana Rukun Tetangga ini dilaksanakan dua tahun sekali bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada kawasan rukun tetangga yang menunjukkan prestasi tinggi, berdaya maju dan cemerlang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata penganugerahan terbabit dapat membakar lagi semangat Jentera Perpaduan negeri untuk bergerak lebih maju kehadapan.
“Semoga dengan anugerah diterima menjadi pembakar semangat buat semua KRT dalam Melaka untuk turut serta bertanding pada masa akan datang.
“Pertandingan seumpama ini mampu membangunkan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat sekaligus mengangkat perpaduan dalam kalangan masyarakat sejagat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.