Krismas disambut meriah

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BANDA HILIR 25 Disember – Perayaan Krismas di Kampung Portugis, di sini, disambut dengan meriah dan penuh tradisi masyarakat Serani.

Suasana meriah itu jelas dapat dilihat apabila setiap kediaman di penempatan itu dihias cantik bukan sahaja dengan pokok Krismas malah dekorasi luaran rumah turut diserikan dengan pantung serta lampu bewarna-warni.

Whatsapp Image 2023 12 25 At 3.56.11 Pm
MARINA Linda Danker bersama keluarga

Bagi Marina Linda Danker, 57, berkata, meskipun sambutan dilakukan dalam skala yang sederhana namun kemeriahan tetap dirasai apabila semua ahli keluarga dapat berkumpul dan meraikannya bersama-sama.

“Setiap tahun saya dan suami memang akan membuat persiapan awal kerana ingin menyambut Hari Krismas dalam suasana yang meriah serta bergembira bersama keluarga.

“Malah lebih menariknya malam sebelum tibanya detik 12 tengah malam kami sekeluarga dapat berkumpul bersama-sama dan menikmati hidangan disediakan sebelum keluar menyambut bersama-sama penduduk yang lain,” katanya ketika ditemui di kediaman di Kampung Portugis, di sini, hari ini.

Whatsapp Image 2023 12 25 At 3.55.44 Pm
ANTARA hiasan menarik bagi meraikan sambutan Krismas di Kampung Portugis

Ibu kepada enam anak itu berkata, sudah menjadi kelaziman penduduk untuk menghias kediaman mereka bermula sejak awal Disember sebagai persiapan menyambut Hari Natal pada tanggal 25 Disember setiap tahun.

“Kalau dilihat setiap rumah pasti akan dihias dan mempunyai dekorasi yang cantik dengan pelbagai hiasan. Semua kerja-kerja ini dibuat sejak awal bulan lagi namun ada juga mula menghias pada pertengahan bulan,” katanya.

Sementara itu bagi Julia Aru, 50, berkata, sambutan Krismas adalah hari ditunggu ramai kerana semua keluarga dapat berkumpul serta berkongsi cerita sambil menikmati pelbagai hidangan menarik.

“Antara juadah yang akan dimasak setiap kali tibanya Krismas adalah ‘kari debal’ iaitu kari ayam Portugis, tart dan ‘Shepards Pie’ menggunakan resepi turun temurun keluarga.

“Sambil menikmati hidangan kami kaum keluarga dan saudara mara yang datang berkunjung akan berbual serta berkongsi cerita. Aktiviti kunjung mengunjung menjadikan hubungan lebih erat,” katanya.

Menurutnya, sambutan Krismas kali agak berbeza berbanding tahun sebelumnya apabila kawasan perkampungan itu sesak dengan kehadiran orang ramai.

“Suasana agak berbeza apabila ramai orang luar datang untuk melihat sendiri keindahan suasana serta hiasan lampu bewarna-warni yang cantik di Kampung Portugis ini.

“Walaupun kami penduduk berdepan dengan sedikit kesesakan namun gembira apabila diraikan oleh masyarakat sekililing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

982
Kongsi :
Previous post TMM2024: Melaka tingkat keceriaan lapan pintu masuk untuk gamit 18 juta pengunjung
Next post Polis tahan 201 individu, rampas dadah bernilai lebih RM1.5 juta
Ubah saiz-+=