KPT pertimbang laksana program TVET peringkat ijazah di Politeknik
Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cadangan itu dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kerana ia melibatkan penyediaan tenaga pakar, akademik dan sebagainya.
“Kita akan beri perhatian dalam TVET kepada soal penyediaan tempat pemahiran, pemahiran semula dan peningkatan kemahiran. Itu sangat penting, kerana ia sebahagian daripada usaha kita menyedia dan memperkukuh dan memperkasakan, penawaran pembelajaran sepanjang hayat.
“Dari segi kebolehpasaran, graduan TVET lebih baik daripada pelajar biasa (akademik) yang mana kedua-duanya melepasi 90 peratus. Jadi tumpuan kita hendak melihat pemadanan pembelajaran dengan kerja dan gaji yang lebih baik..,” katanya selepas Program Kekal Sihat KPT Prihatin MADANI di Dewan Sri Tanjung, Tanjung Sedili, di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohamed Khaled turut menegaskan hasrat kementerian, untuk memperluaskan pengajian bagi menarik lebih ramai pelajar dalam TVET.
“Memang saya sudah nyatakan terutama untuk RMK13, saya ingin melihat peluasan dan pembesaran pembukaan cawangan-cawangan kampus terutama Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), dan kita perkukuhkan lagi politeknik yang ada,” katanya.
Setakat ini, empat rangkaian MTUN merangkumi Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.