KPT beri ruang universiti tentu masa sesuai kelas secara fizikal
SHAH ALAM, 10 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi memberi ruang kepada pihak universiti awam dan swasta untuk menetapkan masa bersesuaian bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal sepenuhnya, bergantung kepada kapasiti dan keupayaan kampus masing-masing.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata pihaknya yakin setiap universiti dapat menilai keupayaan mereka dan akan memilih tarikh bersesuaian bagi menerima kedatangan sepenuhnya pelajar di kampus.
“Kita tidak mahu berlaku masalah tidak diduga, sebab akhirnya masalah ini akan kembali kepada masyarakat dan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Perantis dan Menandatangi Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan McDonald’s Malaysia di sini hari ini.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang turut hadir dalam majlis pelancaran itu berkata MoU yang ditanda tangani hari ini bermatlamat menyediakan peluang kerjaya kepada 4,000 pelajarnya melalui program perintis di syarikat makanan segera itu.
Sementara itu Roziah berkata UiTM merekodkan kadar kebolehpasaran graduannya pada tahap 84 peratus menerusi Rumusan Kajian Impak universiti tersebut dalam tempoh 20 tahun.
“Laporan itu membuktikan kebolehpasaran graduan UiTM diiktiraf oleh QS World University Rankings sebagai ‘Most Employable Grads Among World’s Varsities’. Sementara itu, Analisis Kajian Pengesanan Graduan KPT 2021 melaporkan kebolehpasaran graduan UiTM tahun lalu adalah pada kadar 83 peratus walaupun mendepani cabaran pandemik,” ujarnya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.