KPN zahir ucapan takziah kepada keluarga mangsa serangan Balai Polis Ulu Tiram
Turut merakamkan ucapan sama Timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi PDRM hari ini.
Menurut hantaran itu, kedua-dua anggota polis yang meninggal dunia ketika sedang bertugas dalam kejadian serangan itu ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
“Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq merupakan anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan lebih kurang dua tahun.
“Didoakan agar kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, Razarudin tiba di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 1.25 tengah hari untuk melawat seorang anggota polis yang cedera dalam serangan itu.
Ketua Polis Negara turut meluangkan masa kira-kira lima minit untuk menyantuni anggota itu dan ahli keluarganya.
Beliau kemudian ke Jabatan Perubatan Forensik HSI bagi melihat proses bedah siasat melibatkan dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.
Turut mengiringi Razarudin, Ketua Polis Johor CP M Kumar dan timbalannya DCP Afandi Senin.
Dalam kejadian 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.
Sementara itu, M Kumar mengesahkan polis akan membuat permohonan reman terhadap tujuh individu berkaitan kes itu di Mahkamah Majistret di sini, esok. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.