KPM tidak berhasrat perkenal semula PPSMI

Masa Membaca:55 Saat

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Kementerian Pendidikan (KPM) tidak berhasrat untuk memperkenalkan semula Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), kata Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan alasan untuk memperkenalkan semula PPSMI dan penambahbaikan yang akan dbuat untuk mengatasi kelemahan-kelemahan terdahulu.

Kepada soalan lain, Radzi berkata keputusan Jemaah Menteri sebelum ini berkenaan tiga muka surat pengenalan Jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Melayu Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina  dan SJK Tamil adalah dikekalkan.

Jemaah Menteri juga memutuskan agar pengenalan tulisan Jawi dilaksanakan di SJK dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta murid, katanya.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut), Radzi berkata kementerian memperuntukkan RM57.88 juta untuk perolehan peralatan, bahan keselamatan dan kebersihan yang mencukupi bagi kegunaan sekolah dalam mengawal penularan COVID-19.

Radzi berkata peruntukan itu telah disalurkan kepada jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan sekolah.

“Namun, KPM bersedia untuk menyediakan peruntukan sekiranya terdapat keperluan tambahan bagi tujuan tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Views:

283
Kongsi :
Previous post Pusat Rehabilitasi PERKESO: Lebih 5,500 pekerja dirawat dengan peralatan berteknologi tinggi
Next post Seramai 868,394 individu telah disampel untuk COVID-19
Ubah saiz-+=