Sorting by

×

KPM SASAR LIMA TAHUN LAKSANA SEKOLAH SATU SESI SELURUH NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

KLUANG, 6 Feb – Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan untuk menyelesaikan pelaksanaan sistem sekolah satu sesi di seluruh negara dalam masa lima tahun.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata sehingga kini, lebih 9,000 daripada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara telah melaksanakan sistem satu sesi manakala selebihnya belum berbuat demikian berikutan kepadatan murid.

“Sebenarnya perkembangan pendidikan di negara ini bergerak sangat baik dan ada 9,000 lebih telah pun mencapai hasrat kita untuk satu sesi daripada lebih 10,000 yang masih lagi kita perlu uruskan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program INTAN Minister’s Conversation (IMC): Pendidikan Menyemai Kepimpinan, Membentuk Generasi Masa Hadapan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Wilayah Selatan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan dan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Datuk Anesee Ibrahim.

Fadhlina berkata antara perkara yang akan mempengaruhi pelaksanaan sistem itu ialah pembinaan sekolah baharu selain proses baik pulih sekolah daif.

“KPM juga perlu mengambil kira beberapa faktor kekangan (seperti) soal tempat, premis dan pengurusan sekolah itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, mengenai kebimbangan ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar, Fadhlina berkata pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak berkompromi dengan melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala berkenaan yang dilaporkan menjejaskan lebih 20,000 pelajar sekolah di seluruh negara.

“Jadi sebab itu pendekatan kita selain memberikan kesedaran dan juga berkaitan dengan tindakan disiplin, kita juga mengambil langkah-langkah proaktif bagi mengekang gejala vape ini daripada terus berleluasa dalam kalangan anak-anak kita.

“Kita akan terus berusaha dari semasa ke semasa untuk memastikan ia dapat benar-benar dikekang khususnya melibatkan kesihatan, disiplin anak-anak kita di sekolah dan yang paling utama bagaimana anak-anak kita ini mesti dapat kesedaran penuh tentang bahayanya vape ini,” katanya.

Dalam pada itu, program hari ini bertujuan memberi pendedahan kepada penjawat awam mengenai kepimpinan inklusif dalam menangani cabaran pembangunan sosial, ekonomi dan politik. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

113
Kongsi :
Previous post MELAKA PERKASA PENUBUHAN PDK DI LUAR BANDAR
Next post MCORP JUNJUNG INTEGRITI, TOLAK SALAH GUNA KUASA