KPM bincang dengan MOF, pertimbang usul kenaikan kadar RMT di Belanjawan 2023

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dalam perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mempertimbangkan cadangan menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT), dibawa ke dalam usul Belanjawan 2023.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata perkara itu memerlukan penelitian yang terperinci, kerana mempunyai implikasi yang besar dari segi kewangan sekali gus memaklumkan pihaknya sedang dalam proses untuk menyiapkan kertas untuk dibawa ke peringkat akhir.

“Berkaitan dengan kos tentang (kadar) RMT itu yang dikatakan terlalu rendah, perkara itu pun kita sedang dan akan terus bincang dengan MOF, bagi memastikan kita mengambil kira semua aspek sebelum sebarang pertimbangan dibuat.

“Perkara ini kita akan bincang untuk disiapkan kertas untuk dibawa ke kabinet…kita perlu ingat setiap perkara ini memerlukan sedikit masa kerana ia melibatkan implikasi yang besar,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara hari ini.

Beliau berkata penelitian itu juga akan mengambil kira mengenai cabaran kenaikan kos.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan agar kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dalam perkembangan lain mengenai isu kuarters guru yang terbiar, beliau memaklumkan perkara itu disebabkan oleh lokasi kuarters yang tidak strategik dan permintaan yang kurang untuk menetap di kuarters berkenaan.

“Isu ini melibatkan dua konteks, pertama ada kuarters-kuarters yang lokasinya mendapat permintaan yang tinggi, kedua ada kuarters yang dibina di kawasan yang tidak ada permintaan khususnya, apabila kos untuk duduk di luar lebih murah dan ada juga kuarters ini yang dibina di lokasi yang tidak sesuai.

“Ini isu legasi yang telah lama berlarutan kami di kementerian sedang mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

651
Kongsi :
Previous post Dua ditahan perdaya rakyat Malaysia jadi pekerja operator pusat panggilan
Next post UTeM bangunkan ruang bacaan di Masjid Al-Ghaffar, Jasin
Ubah saiz-+=