Sorting by

×

KPM belum buat keputusan rasmi pelaksanaan PT3

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

PUTRAJAYA, 21 Feb – Kementerian Pendidikan (KPM) belum membuat keputusan berhubung pelaksanaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi sesi 2022, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata KPM sedang meneliti pendekatan yang paling sesuai berkaitan PT3 dengan mengambil kira tahap penguasaan murid dan indikasi daripada sesi persekolahan 2021 yang masih berlangsung.

“Belum ada sebarang keputusan rasmi oleh KPM berkaitan dengan PT3,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pelancaran Sekolahku SEJAHTERA, di sini hari ini.

Sebelum ini, tular dalam laman Facebook mengenai hantaran yang didakwa dibuat oleh Lembaga Peperiksaan Rasmi yang memaklumkan PT3 akan diadakan semula bagi 2022 pada Oktober hingga November. Semakan mendapati hantaran itu telah dipadamkan.

Radzi dalam pada itu berkata KPM akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok berhubung penggunaan sekolah menengah di Johor sebagai pusat mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk memastikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar.

Sebanyak 151 sekolah menengah dijadikan pusat mengundi pada 12 Mac untuk PRN Johor, manakala peperiksaan SPM pula dijadual diadakan dari 2 hingga 29 Mac ini.

“Sebelum ini pun sudah dibuat perbincangan awal. Kami sedang bekerjasama rapat dengan SPR bagi memastikan supaya peperiksaan SPM ini dapat berjalan dengan baik.

“Jika terpaksa guna, kita ada pendekatan yang akan kita gunakan namun begitu kita cuba elakkan kerana tempoh masa tidak banyak, hari Ahad sahaja yang ada (susun semula meja kerusi).

“Meja-meja peperiksaan telah disusun atur dengan teliti mengambil masa yang lama dan rombakan kepada susun atur meja tersebut yang kemudiannya disusun balik dalam masa sehari bukan sesuatu yang mudah kerana susunan meja dan kerusi ada cara dan peraturannya,” kata Radzi.

Mengenai isu beg sekolah berat yang menjadi perbualan hangat, Radzi berkata KPM sedang memperhalusi perkara itu dan sudah mengenal pasti beberapa punca kepada isu tersebut antaranya jumlah mata pelajaran, buku teks tebal dan murid membawa buku tambahan.

“Kami di KPM sedang merangka apa pendekatan terbaik (kerana) ia telah berlarutan sekian lama. Apakah pendekatan yang terbaik bagi pastikan isu ini diselesaikan sepenuhnya dengan memperincikan beberapa pendekatan,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

778
Kongsi :
Previous post Jumlah korban tanah runtuh di Brazil meningkat kepada 152
Next post Sekolahku Sejahtera terap 14 elemen nilai kehidupan
Ubah saiz-+=