Sorting by

×

KPM akan tutup sekolah jika ramai guru dikuarantin

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

TASEK GELUGOR 3 April – Sekolah yang melaporkan kes COVID-19 hanya akan ditutup jika sebahagian besar guru perlu dikuarantin sehingga menjejaskan kecekapan operasi sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata keputusan penutupan juga mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).

Sekiranya PKD menasihatkan agar kelas tertentu, tingkat tertentu atau bangunan tertentu ditutup, maka penutupan hanya melibatkan bahagian yang berkenaan, katanya.

“Bagaimanapun, jika kami mendapati operasi sekolah boleh terjejas disebabkan sebahagian besar guru dikuarantin, maka kementerian akan melihat sama ada operasi sekolah boleh diteruskan atau ditangguh,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri Pulau Pinang dilapor menggesa agar tindakan drastik termasuk penutupan diambil terhadap sekolah yang melaporkan kes COVID-19.

Mengulas mengenai majlis hari ini, Radzi berkata kementerian itu memberi penekanan besar terhadap infrastruktur sekolah dengan memastikan penyelenggaraan dijalankan secara berterusan.

“Infrastruktur yang baik merupakan asas yang utama supaya anak-anak boleh belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif, serta membolehkan para guru menyampaikan pembelajaran dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui isu infrastruktur di sekolah sukar untuk diselesaikan sepenuhnya kerana kementerian perlu memberi perhatian kepada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

365
Kongsi :
Previous post Kluster Teknologi Berendam tamat hari ini.
Next post 264,584 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=