Sorting by

×

KPLB kumpul data di seluruh negeri terjejas banjir untuk pelan pembaikan kos

Masa Membaca:2 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA, 2 Jan – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengumpul data di seluruh negeri yang terjejas banjir untuk pelan pembaikan dan peruntukan kos bagi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), jalan kampung, jalan perhubungan desa, jambatan, longkang surau, taska, tabika serta ameniti sosial lain di bawah seliaannya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ketika ini dalam fasa pascabanjir, KPLB dan semua agensinya sedang melaksanakan kerja-kerja penilaian kerosakan yang dialami mangsa banjir, selain menjalankan kerja-kerja pembersihan menerusi pasukan sukarelawan kita yang turun padang di Bentong, Hulu Langat dan juga Banting, untuk membantu mangsa banjir.

Selain itu beliau berkata Majlis Amanah Rakyat (Mara), turut meringankan beban kewangan mangsa banjir dengan memberi kelonggaran penjadualan semula bayaran balik pinjaman pelajaran dan perniagaan, selain pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan kepada peniaga yang terjejas.

“MARA juga tidak akan meneruskan sebarang tindakan penguatkuasaan ke atas peminjam kemudahan MARA yang terkesan dengan bencana banjir luar biasa yang melanda kali ini. Bagi penyewa premis perniagaan MARA pula, pertimbangan pengecualian bayaran sewa adalah berdasarkan kerosakan dan kerugian yang ditanggung penyewa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mahdzir berkata KPLB berharap program bantuan yang menyeluruh ini, akan dapat membantu melegakan kebimbangan terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini, sambil mengekalkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing.

Beliau berkata KPLB mengambil serius untuk menyegerakan bantuan banjir Keluarga Malaysia, berdasarkan inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan tahun baru.

Katanya KPLB bersama lapan agensinya sedia melaksanakan inisiatif bantuan Keluarga Malaysia pada kadar segera, mengikut peruntukan sedia ada.

Antara agensi terlibat MARA, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Trengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

Mahdzir berkata KPLB juga komited dalam memastikan segala bantuan disalurkan segera, bagi memastikan kebajikan dan keperluan mangsa banjir terutama di luar bandar terjamin.

Katanya lebih tiga ribu sukarelawan KPLB dan agensinya digerakkan bagi membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir, termasuk membaiki pendawaian dan barangan elektrik di kawasan angkat di Bukit Changgang, Banting, Huala Langat dan Kampung Karak Setia, Bentong, Pahang.

Antara peruntukan disalurkan KPLB adalah RM4 juta dalam bentuk sumbangan barangan keperluan seperti bakul makanan dan kit pembersihan diri kepada mangsa banjir, RM15,000 bagi bantuan baik pulih rumah dan RM56,000 bagi bantuan bina baharu rumah mangsa banjir yang kehilangan kediaman sepenuhnya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

705
Kongsi :
Previous post Banjir: Kesiapsiagaan bomba pada tahap optimum, termasuk hadapi air pasang besar
Next post Air pasang besar, limpahan Sungai Melaka punca banjir di Kampung Morten
Ubah saiz-+=